Bayi Berbalut Kain Batik Ditemui Dalam Kotak Tepi Jalan
Seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemui dibalut dengan kain batik di dalam sebuah kotak di tepi jalan berhampiran Gua Tempurung, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, bayi itu masih hidup dan dalam keadaan cukup sifat, bersama dengan kesan darah dari tali pusat dan uri.
Menurut Mohamad Nazri, pihak polis menerima maklumat berhubung penemuan itu daripada dua pekerja yang secara kebetulan melintasi kawasan tersebut untuk melihat lembu peliharaan pada jam 3.15 petang.
“Ketika menghampiri kawasan itu, mereka ternampak kaki seperti kaki bayi terkeluar dari sebuah kotak yang diletakkan di tepi simpang masuk sebuah pusat pengajian al-quran dan pusat pemulihan akhlak.
“Curiga dengan keadaan itu, mereka mendekati kotak berkenaan sebelum melihat seorang bayi perempuan ditinggalkan hanya dengan berbalut kain,” katanya ketika dihubungi pada Isnin, lapor Sinar Harian.
Jelas beliau, siasatan awal mendapati bahawa bayi itu mungkin baru ditinggalkan di kawasan itu kurang dari 12 jam sebelum ditemui.
Katanya, pihak polis kini masih menjalankan siasatan di sekitar lokasi kejadian untuk mengesan suspek yang terlibat.
“Kawasan penemuan merupakan laluan awam dan tidak berpagar. Tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh membantu sisatan.
“Polis juga telah menjalankan pemeriksaan ke atas tiga penghuni wanita di pusat pengajian itu dan didapati, tiada tanda-tanda telah melahirkan bayi,” katanya.
Tambah beliau, bayi tersebut kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Kampar.
“Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah dimaklumkan mengenai kes penemuan bayi ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya.
BACA: Kereta Dihempap Pokok Tumbang Di Kuala Lumpur
Sumber: Sinar Harian