Kenapa Putrajaya Sunyi Pada Waktu Malam & Hujung Minggu? Ini Jawapan Tun Dr Mahathir
Putrajaya yang kita kenali sebagai pusat pentadbiran kerajaan Malaysia di mana letaknya Pejabat Perdana Menteri.
Biarpun ibu kota pintar ini jauh dari pusat bandar Kuala Lumpur, ia mudah diakses melalui lebuh raya atau pengangkutan awam seperti Perkhidmatan Transit Massa (MRT).
Untuk pengetahuan anda, jalan utama di bandar ini telah diilhamkan oleh Champs-Élysées di Paris. Putrajaya ialah sebuah bandar yang direka dengan teliti, menawarkan keindahan alam semula jadi, kemudahan rekreasi dan pengalaman budaya yang menarik.
Namun, bagi mereka yang pernah berkunjung ke Putrajaya pada hari cuti ataupun waktu malam, anda pasti menyedari suasana di bandar ini tidak menentu.
Ada kalanya Putrajaya sibuk dengan pengunjung, tetapi pada lewat malam, jalan raya sunyi sepi seperti ‘kota mati’.
Bapa Pemodenan Malaysia jelaskan mengapa Putrajaya menjadi sunyi pada waktu malam
Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi laman X peribadi beliau, @chedetofficial, menjelaskan sebab Putrajaya menjadi sunyi di waktu malam dan hujung minggu.
YABhg. Tun Dr Mahathir bin Mohamad menerima kunjung hormat delegasi Ibukota Nusantara Indonesia yang diketuai oleh Dr Robby Kurniawan, Ketua Pengarah Kementerian Perhubungan Republik Indonesia di Putrajaya semalam.
Kunjungan hormat delegasi Indonesia ini bertujuan mendapatkan… pic.twitter.com/L2EBTp9NtW
— Dr Mahathir Mohamad (@chedetofficial) May 9, 2024
Menurut perkongsian beliau, kedudukan kementerian-kementerian dan premis Kerajaan yang berselerakan sekitar Kuala Lumpur menyukarkan komunikasi, melengahkan keputusan dan perhubungan sesama kakitangan Kerajaan. Bukan itu sahaja, Kuala Lumpur juga mengalami kesesakan dan kepadatan.
Justeru itu, pembangunan Putrajaya adalah untuk mengalih dan menempatkan Kementerian Kerajaan di dalam satu kawasan.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkongsi bahawa antara bandar yang dijadikan model bagi Putrajaya ialah Brasilia, Islamabad, Tokyo, Paris dan Isfahan, Iran. Kesemua bandar ini telah dipelajari bukan sahaja kebaikannya, malah kesilapan dan kekurangan di bandar itu.
Beliau memberi contoh berkenaan pembinaan jalan seperti boulevard, iaitu sebatang jalan besar sepanjang 4.2km bermula dari Perdana Putra hingga PICC.
Jelas beliau, ia diinspirasi dari Champs Elysees, Paris. Di sepanjang kiri dan kanan boulevard ini terdapat bangunan-bangunan kementerian.
Sebelum ini jika di Kuala Lumpur, kedudukan kementerian berselerak dan tidak teratur, jadi apabila Putrajaya dibina, bangunan Kementerian disusun di sepanjang kiri dan kanan boulevard sekali gus menyelesaikan isu komunikasi dan perhubungan kakitangan Kerajaan.
Bagaimanapun, pada asalnya, boulevard ini tidaklah dikhaskan kepada premis Kerajaan. Dr Mahathir berpandangan bahawa boulevard ini perlu meriah seperti Champs Elysees dan Jalan Bukit Bintang yang di sekitarnya terdapat kedai-kedai, restoran dan hiburan.
Orang ramai boleh berjalan-jalan dan menikmati cahaya lampu di sekitar boulevard.
Namun begitu, idea tersebut tidak disambut baik kerana terdapat beberapa pandangan yang mahukan bangunan di situ dikhaskan kepada premis Kerajaan. Disebabkan itu kini, Putrajaya sunyi di waktu malam dan hujung minggu.
Janda Baik, Pahang pernah menjadi pilihan pembinaan pusat pentadbiran kerajaan Malaysia
Menurut Dr Mahathir lagi, sebelum ini antara kawasan yang menjadi pilihan pembinaan pusat pentadbiran Kerajaan ialah Janda Baik di negeri Pahang.
Namun disebabkan beberapa faktor kesesuaian, ia tidak dipilih. Dr Mahathir turut menekankan, pemilihan lokasi menjadi salah satu faktor utama dalam pembinaan bandar.
Oleh itu, Putrajaya yang dahulunya dikenali sebagai estet Prang Besar dipilih kerana kedudukannya yang terletak di antara Kuala Lumpur dan Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
BACA: Kes Zulfarhan: 12 Tertuduh Akui Insiden Beri Kesan Sepanjang Hayat
Sumber: Dr Mahathir Mohamad via X