Penumpang Maut, Lori Terbakar Rempuh Treler Di LTU
BENTONG — Seorang penumpang maut apabila lori yang dinaikinya terbakar selepas merempuh treler muatan habuk kayu di Lingkaran Tengah Utama (LTU) hala Barat dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi semalam, lapor Sinar Harian.
Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar, mangsa yang juga seorang lelaki warga tempatan, 53, meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala pemandu lori terbabit, remaja berusia 18 tahun mengalami patah paha dan telah di hantar ke Hospital Bentong.

Jelas Zaiham, lori berkenaan difahamkan dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan menghala ke Pelaburan Klang, Selangor.
“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu lori dipercayai hilang kawalan lalu melanggar belakang bahagian belakang treler membawa muatan 50 tan yang berada di tepi jalan sebelah kiri kerana mengalami kerosakan.
“Akibat kemalangan tersebut, kenderaan berat itu terbakar di keseluruhan di bahagian,” maklumnya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, beliau memaklumkan pemandu lori terbabit tiada lesen memandu selepas siasatan lanjut dilakukan ke atasnya.
Bagaimanapun, pemandu treler terbabit yang berusia 47 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
BACA: Pecah Rekod Sendiri, Lelaki Nepal Tawan Gunung Everest Kali Ke-29
Ujarnya lagi, mana-mana pihak yang melihat kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Nahas dua lori
Pada Mac lalu, seorang pemandu dan kelindan dilaporkan maut dalam satu nahas apabila sebuah lori muatan raga ayam yang mereka naiki terbakar dengan treler muatan batu, lapor Astro Awani.
Menurut Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud, nahas itu berlaku di Kilometer 294.8 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, laluan Gopeng ke Simpang Pulai sekitar jam 9.10 pagi.
Jelas Mohamad Nazri, petugas perubatan mengesahkan pemandu, Yew Khiang Khoon dan kelindan, Abdul Rahman Mat Desa meninggal dunia di tempat kejadian.
Difahamkan, kedua-dua lori berkenaan sedang menghala ke arah Utara selepas siasatan awal dijalankan.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, tiba-tiba lori muatan raga ayam telah melanggar bahagian belakang treler muatan batu semasa berada di lorong kiri menyebabkan lori mengalami kebakaran tetapi dapat dipadam oleh pihak bomba,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Sumber: Sinar Harian