Siakap Keli
gelora udara penerbangan
Gambar tular media sosial

Apa Itu Gelora Udara Penerbangan & Bagaimana Boleh Berlaku? Ini Penjelasannya

Apa Itu Gelora Udara Penerbangan & Bagaimana Boleh Berlaku? Ini Penjelasannya

Bagi mereka selalu menaiki kapal terbang, mungkin anda pernah merasa gegaran apabila pesawat melanggar awan. Tak dapat dinafikan, ia merupakan pengalaman yang menakutkan walaupun adakalanya gegaran berlaku hanyalah pada skala yang kecil.

Gelora udara atau lebih dikenali sebagai turbulence ini bukanlah sesuatu yang baru dalam dunia penerbangan. Apabila berlaku situasi seperti ini, biasanya juruterbang akan memaklumkan kepada penumpang terlebih dahulu.

Makluman itu akan membolehkan para penumpang bersedia mengetatkan tali pinggang keselamatan bagi mengelakkan sebarang kecederaan dalam kabin berlaku.

Namun, pernah tak anda terfikir punca sebenar gelora udara dan apa yang perlu dilakukan sekiranya ia berlaku?

Apa yang menyebabkan gelora udara penerbangan berlaku?

Menurut portal Canadian Mental Health Association, gelora udara adalah sejenis perubahan dalam udara di sekeliling pesawat.

Gelora udara yang berlaku pula boleh berpunca daripada beberapa perkara. Pergerakan udara semasa dipanaskan oleh Matahari juga boleh menyebabkan gelora udara berlaku.

Selain itu, gelora udara juga boleh terhasil akibat perubahan cuaca. Gunung-ganang dan struktur alam yang lain boleh menyebabkan gelora udara berlaku ketika udara bergerak turun naik. Kesan riaknya juga boleh berkekalan lebih lama.

Malah, pegerakan peawat ketika terbang di udara juga boleh menghasilkan gelora udara yang memberi kesan kepada pesawat yang terbang di belakang.

Situasi ini juga merupakan salah satu alasan mengapa menara kawalan mengambil masa yang sedikit panjang untuk memberi kebenaran kepada sesebuah pesawat untuk berlepas.

Manakala jetstream yang mengelilingi Bumi juga boleh menyebabkan gelora udara berlaku biarpun ketika itu langit dalam keadaan cerah. Keadaan ini dipanggil sebagai ‘gelora udara jernih’.

Berbekalkan instrumen yang ada dalam pesawat, juruterbang akan menerima petunjuk berkenaan situasi gelora udara yang berpotensi berlaku dan mengambil langkah-langkah yang sepatutnya.

Bagaimanapun, adalah hampir mustahil untuk meramal dan mengelak semua gelora udara yang berlaku.

Terdapat empat intensiti gelora udara

Menurut portal National Weather Service pula, semasa juruterbang melaporkan gelora udara, ia biasanya dikelaskan sebagai situasi ringan, sederhana, teruk dan ekstrem. Ia juga ditentukan oleh petugas atau tahap kestabilan udara.

Gelora udara tahap ringan akan menyebabkan sedikit perubahan pada ketinggian atau mengalami hentakan ringan. Pada waktu yang sama, para penumpang akan merasakan sedikit ketegangan pada tali pinggang keledar mereka.

Bagi gelora udara tahap sederhana pula, kesan yang dirasai lebih kuat. Namun, situasi kapal masih boleh dikawal.

Bagi gelora udara yang teruk, ia menyebabkan perubahan besar dan mendadak dalam ketinggian. Bukan itu sahaja, malah variasi besar dalam kelajuan udara turut ditunjukkan dan pesawat mungkin hilang kawalan buat seketika.

Dalam gelora udara yang ekstrem, pesawat akan terlambung dengan kuat dan sukar untuk dikawal. Malah, dalam keadaan tertentu, ia juga boleh menyebabkan kerosakan struktural pada pesawat.

Bahaya gelora udara kepada pesawat

Menurut BBC yang memetik kenyataan pakar aviasi, pesawat sebenarnya dicipta untuk mampu berdepan dengan situasi terburuk yang berpunca daripada gelora udara.

Namun begitu, gelora udara memang boleh memberi kesan kepada penerbangan. Oleh itu, juruterbang biasanya akan mengelak gelora udara atau memperlahankan pesawat ketika melalui kawasan di mana gelora udara berlaku.

Juruterbang juga akan menghidupkan lampu yang memberi isyarat kepada penumpang untuk mengetatkan tali pinggang keselamatan.

Sekiranya berlaku pada tahap ekstrem, gelora udara boleh menyebabkan kerosakan struktural kepada pesawat. Ia juga berbahaya kepada penumpang dan tidak memakai tali pinggang keselamatan boleh menyebabkan mereka terlambung.

Situasi ini boleh menyebabkan penumpang mengalami kecederaan atau keadaan-keadaan lain yang tidak diingini berlaku.

Sebab itulah, penumpang dipesan untuk memakai tali pinggang keselamatan setiap masa kerana ada masanya adalah sukar untuk menjangkakan gelora udara boleh berlaku.

BACA: Viral Detik-detik Letupan Akibat Kebocoran Tong Gas, Penunggang Nyaris Jadi Mangsa

Sumber: Weather Channel, National Weather Service, Cannadian Mental Health Association, BBC

Athirah

When nothing goes right, go left.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.