Siakap Keli
cctv faisal halim asid
Gambar: BERNAMA

Polis Siasat Pihak Sebar CCTV Faisal Halim Disimbah Asid

Polis Siasat Pihak Sebar CCTV Faisal Halim Disimbah Asid

Baru-baru ini tular di media sosial, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) melibatkan pemain kebangsaan, Faisal Halim yang menjadi mangsa simbahan asid.

Video berdurasi 56 saat itu telah dikesan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dan beliau berkata siasatan untuk mengesan pihak yang menyebarkan CCTV itu telah dimulakan.

“Video terbabit merupakan bahan bukti yang masih dalam siasatan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Siasatan telah dimulakan bagi mengesan pihak yang menyebarkan video rakaman CCTV tersebut untuk tindakan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian pada hari ini.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan video tersebut atas sebab menghormati mangsa dan keluarga selain mahu menjaga sensitviti.

Hussein juga menegaskan pihaknya memandang serius dan tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang sengaja menyebarkan video itu akan diambil.

Hal ini kerana perkara tersebut boleh menganggu tugas polis.

“Tindakan sedemikian sekali gus mengganggu siasatan pihak polis,” katanya.

Menerusi klip video yang tular itu, ia memaparkan seorang lelaki yang menutup bahagian mukanya menggunakan kain berdiri di antara beberapa kenderaan lain.

Kemudiannya, lelaki tersebut menuju ke arah Faisal dan mengambil tindakan untuk menyimbah cecair kepadanya.

Kejadian tersebut turut disaksikan oleh beberapa individu yang berada di situ.

Sumber: Sinar Harian

Nurhanis

noktah