Siakap Keli
malaysia tandatangani perjanjian antarabangsa 3 prinsip utama negara
Kredit: Bernama

Malaysia Hanya Akan Tandatangani Perjanjian Antarabangsa Jika 3 Prinsip Utama Negara Terjamin

Malaysia Hanya Akan Tandatangani Perjanjian Antarabangsa Jika 3 Prinsip Utama Negara Terjamin

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa Malaysia hanya akan menandatangani perjanjian antarabangsa iaitu Perjanjian Pandemik dan pindaan bersasar IHR 2005 sekiranya kuasa Yang Di-Pertuan Agong, martabat Raja-Raja dan kedaulatan negara terjamin.

Menterinya, Datuk Seri Dr Haji Dzulkefly Ahmad dalam satu kenyataan berkata pihaknya mengambil maklum mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa Malaysia mempertaruhkan kedaulatan negara dalam memuktamadkan pindaan bersasar dokumen IHR 2005.

Pun begitu, beliau menegaskan bahawa penyertaan Malaysia dalam kedua-dua platform rundingan terbabit adalah bertujuan untuk menjaga kepentingan kesihatan negara.

“Ia juga wajib mematuhi tiga prinsip utama iaitu kedaulatan negara serta kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja dipastikan tidak akan disentuh.

“Kedua, negara-negara maju juga perlu membantu negara-negara membangun bagi menjamin agihan sumber seperti produk kesihatan berkaitan pandemik adalah adil dan saksama, serta dimonopoli oleh negara maju sahaja

“Ketiga, Pewujudan mekanisme kewangan kecemasan kesihatan bagi menghadapi sebarang kemungkinan pandemik tidak akan melibatkan sebarang dana tambahan,” katanya.

Menurutnya lagi, proses rundingan tersebut melibatkan pelbagai kementerian dan agensi dengan komitmen yang tinggi bagi memastikan kepentingan negara dan rakyat dilindungi serta memelihara kedaulatan undang-undang negara.

“Malaysia sentiasa memastikan prinsip asas seperti kedaulatan dan autonomi, keadilan dan solidariti, ketelusan serta kesamarataan disuarakan dalam setiap rundingan.

“Sekiranya instrumen yang akan dimuktamadkan mengutamakan prinsip-prinsip asas yang dipertahankan terutamanya kedaulatan negara, KKM akan mengangkat kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan bagi kerajaan menandatangani instrumen berkenaan.

“Sehingga itu, kerajaan tidak akan terikat dengan instrumen berkenaan,” tegasnya.

Tambahnya, pihak KKM sentiasa meneliti dan memantau rundingan antarabangsa bagi pindaan bersasar IHR 2005 dan penyediaan Perjanjian Pandemik ini.

Perkembangan terkini berkaitan kedua-dua rundingan juga akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Kedua-dua rundingan itu menjadi antara perkara yang akan dibincangkan di Persidangan Kesihatan Sedunia Sesi Ke-77 yang akan berlangsung di Geneva, Switzerland pada 27 hingga 31 Mei ini, yang akan dihadiri Dr Dzulkefly dan delegasinya.

Tegasnya dalam kenyataan itu lagi, kedua-dua sesi rundingan tersebut diterajui sepenuhnya oleh Negara Anggota.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula hanya bertindak sebagai Sekretariat kepada kedua-dua sesi rundingan dan semua keputusan adalah tertakluk kepada persetujuan Negara Anggota.

BACA: Diselaras Oleh WHO, Ini Yang Anda Perlu Tahu Mengenai IHR

“Metodologi rundingan Interngovernmental Negotiating Body (INB) dan Working Group on Amendments to the International Health Regulations (WGIHR) yang sistematik dan komprehensif memberi peluang kepada setiap negara menyuarakan pandangan dan pendirian masing-masing.

“Setiap cadangan yang dimasukkan dalam draf kedua-dua dokumen ini dibincangkan secara terperinci dengan mengambil kira kapasiti, keupayaan dan kebolehlaksanaan Negara Anggota,” ujarnya.

Sementara itu, rundingan INB ke-9 (sambungan) yang telah diadakan pada 29 April sehingga 10 Mei 2024 akan dilanjutkan sehingga 24 Mei 2024 bagi menentukan hala tuju penyediaan dokumen baharu ini.

Manakala, rundingan WGIHR ke-8 (sambungan) yang telah berlangsung pada 16 hingga 18 Mei lalu juga akan diteruskan sehingga 24 Mei.

WHO memaklumkan laporan hasil rundingan tersebut akan dibincangkan semasa persidangan nanti.

Menurut WHO, peraturan IHR yang dipinda tidak akan memberi hak kepada pihaknya untuk mengarahkan atau memaksa sesebuah negara untuk mengenakan sebarang langkah kesihatan, termasuk sekatan, atau perintah kawalan pergerakan (lockdown) dan tindakan-tindakan yang lain.

Sumber: X/KKMPutrajaya

Sofea

There's always another side to every story