Siakap Keli
mufti perak khutbah jumaat mufti perak beri penjelasan
Kredit Gambar: Bernama

Mufti Perak Akan Beri Penjelasan Isu Khutbah Jumaat – MB Perak

Mufti Perak Akan Beri Penjelasan Isu Khutbah Jumaat – MB Perak

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumkan bahawa Jabatan Mufti Perak akan tampil memberikan penjelasan berkenaan isu teks khutbah Jumaat di negeri itu yang menjadi tular sejak semalam, lapor Sinar Harian.

Menurutnya, penjelasan itu dilakukan bagi memastikan pengisian dan mesej sebenar dalam teks khutbah itu boleh difahami orang ramai terutama umat Islam.

“Seeloknya kita bertenang dan dapatkan penjelasan lanjut kerana dalam Islam penting untuk kita menjaga sensitiviti antara satu sama lain.

“Dalam hal ini, Mufti akan memberi penjelasannya nanti termasuklah latar belakang dan maksud sebenar dalam teks tersebut.

“Barangkali dalam tempoh 20 minit untuk teks itu (khutbah) dibacakan (semalam), (maksud) tak sampai kepada tujuan teks tersebut,” katanya dalam sidang akhbar pada Sabtu.

Tambahnya lagi, isu terbabit juga telah ditekankan dalam Majlis Perundingan Masjid (MPM) Negeri Perak pada hari ini.

Beliau telah diberi penjelasan berhubung teks tersebut dalam pertemuan itu yang dipengerusikan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini. Ia turut dihadiri Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh dan pengerusi-pengerusi masjid.

BACA JUGA: Faisal Halim Dibenar Keluar Hospital, Proses Rawatan Dan Pemulihan Masuk Fasa Baharu

“Saya tidak mahu mengulas apa-apa melainkan nak beritahu bahawa teks khutbah berkenaan adalah teks yang disediakan oleh Jabatan Mufti yang telah pun mendapat persetujuan dan tandatangan daripada Mufti.

“Dalam konteks kita (Perak) ketetapannya semua khatib hendalah membaca teks khutbah yang dikemukakan itu.

“Bermakna, kalau ada orang tak baca, dia telah membuat kesalahan berasaskan kepada arahan daripada MAIPk dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk),” ujarnya.

Terdahulu, teks rasmi khutbah Jumaat yang bertajuk ‘Menghayati Keadilan Sejagat Dalam Kehidupan Bernegara’ menjadi tular selepas kandungannya yang menyeru umat Islam menghentikan amalan boikot atau memulaukan perniagaan tertentu.

Menurut Sinar Harian, khutbah itu antara lain menyatakan tindakan boikot harus dihentikan dengan hujah bahawa perbuatan itu berlawanan dengan keadilan Islam.

Sumber: Sinar Harian

Sofea

There's always another side to every story