Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan bahawa beliau merupakan salah seorang individu yang terlibat dalam insiden tangkapan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung kes berdua-duaan dengan wanita bukan muhrim di sebuah tempat tertutup di Petaling Jaya pada 15 Oktober lalu.
Menerusi satu kenyataan di Instagram, Nik Nazmi berkata beliau tidak mahu memanjangkan isu tersebut, namun tampil memberikan penjelasan berhubung kejadian berkenaan.
“Saya ingin mengesahkan saya adalah salah seorang daripada individu dalam insiden tersebut.
“Saya tidak mahu memanjangkan isu ini, sekadar menyatakan saya bersama rakan-rakan saya memulakan perbincangan di studio kami di Brickfields, Kuala Lumpur dan kemudian memutuskan untuk meneruskannya di Petaling Jaya kerana ingin melihat beberapa bahan berkaitan dengan projek yang kami bincangkan.
“Pada masa pegawai JAIS tiba, sememangnya hanya saya dan wanita tersebut yang ada. Saya mengakui itu adalah suatu kesalahan.
“Seperti yang saya maklumkan juga kepada Pegawai JAIS, kami sememangnya tidak melakukan apa-apa tindakan sumbang yang menimbulkan syak wasangka,” katanya.
Beliau turut memohon maaf kepada isteri, keluarga serta semua pihak yang terkesan akibat kesilapan pertimbangannya ketika kejadian.
Tambahnya, beliau akan memberikan kerjasama dalam sebarang proses perundangan berkaitan insiden tersebut.
Nik Nazmi turut memohon maaf kepada parti BERSAMA kerana mengecewakan ahli dan penyokong parti susulan isu berkenaan.
Beliau juga menyatakan kesediaan untuk menerima apa jua keputusan parti memandangkan isu tersebut telah menjejaskan BERSAMA.
“Saya berharap semua pihak akan menghormati proses perundangan dan tidak memanjangkan perbicaraan menerusi media,” katanya lagi.

