Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Banjir Taman Sri Muda: Kerajaan Perlu Ambil Serius Risiko Tindakan Undang-Undang - Nik Nazmi

MUDA
Kredit: Bernama

Kerajaan perlu mengambil serius risiko tindakan undang-undang susulan bencana banjir pada masa depan, khususnya sekiranya kegagalan dalam perancangan, penyelenggaraan infrastruktur atau tindak balas kecemasan menyebabkan kerugian kepada rakyat.

Jurucakap BERSAMA, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, keputusan Mahkamah Tinggi berhubung banjir besar Taman Sri Muda pada 2021 perlu menjadi peringatan kepada kerajaan dan agensi berkaitan supaya tidak menganggap kejadian banjir ekstrem semata-mata sebagai bencana di luar kawalan manusia.

Menurutnya, mahkamah mendapati kerajaan serta beberapa agensi Persekutuan dan negeri bertanggungjawab terhadap kerugian yang dialami 50 penduduk Taman Sri Muda susulan banjir pada Disember 2021.

“Walaupun mahkamah masih belum memutuskan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar, keputusan ini penting kerana, berdasarkan laporan media, mahkamah telah menolak antara lain pembelaan ‘kuasa Tuhan’ (act of God) yang dikemukakan oleh pihak-pihak yang dinamakan sebagai defendan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya, keputusan itu membawa implikasi lebih luas kerana menunjukkan perubahan iklim dan kesan kemusnahannya bukan semata-mata sesuatu yang tidak dapat dikawal oleh kerajaan.

“Keputusan bersejarah ini wajar menjadi ruang untuk rakyat Malaysia menilai beberapa persoalan yang lebih luas, melangkaui implikasi undang-undang semata-mata,” ujarnya.

Adaptasi perubahan iklim perlu diberi perhatian

Nik Nazmi berkata, adaptasi perubahan iklim perlu dilihat sebagai tanggungjawab kerajaan Persekutuan, negeri dan tempatan, termasuk dalam aspek perancangan pembangunan, infrastruktur, guna tanah serta pengurusan bencana.

Jelasnya, kerajaan perlu mengambil langkah lebih proaktif dengan menjangka risiko, membina daya tahan, menyelenggara dan menaik taraf infrastruktur selain memperkukuh sistem tindak balas kecemasan.

“Perkara ini perlu diambil jauh lebih serius oleh semua peringkat kerajaan pada masa akan datang,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata keperluan meluluskan dan melaksanakan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara serta Pelan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP) kini semakin mendesak.

“Tidak seharusnya ada lagi kelewatan, khususnya dalam hal RUU tersebut, memandangkan ia telah siap untuk dibentangkan di Parlimen sejak tahun lalu,” ujarnya.

Beliau berkata, adaptasi iklim perlu diintegrasikan dalam perancangan pada setiap peringkat pentadbiran kerajaan dengan mengambil kira risiko untuk tempoh berdekad-dekad.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata rakyat juga wajar menilai dasar dan perancangan parti politik serta calon berkaitan isu perubahan iklim apabila negara menghampiri siri pilihan raya negeri dan Pilihan Raya Umum.

“Tiada parti atau gabungan yang boleh mendakwa menawarkan pentadbiran yang bertanggungjawab sekiranya mereka menafikan cabaran kewujudan ini atau gagal merancang untuk menghadapinya,” katanya.

Ujarnya, walaupun kerjasama global penting dalam menangani perubahan iklim, setiap negara perlu mempunyai rancangan adaptasi dan mitigasi yang inklusif serta berkesan bagi mengurangkan kesan kejadian cuaca ekstrem terhadap rakyat dan ekonomi.

Sumber:Nik Nazmi