Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan satu tangkapan berkaitan kesalahan khalwat melibatkan seorang figura awam dilakukan di daerah Petaling pada 6 petang semalam.
JAIS sahkan satu tangkapan kesalahan khalwat melibatkan figura awam
Menurut kenyataan media yang dimuat naik menerusi Facebook JAIS hari ini, dua individu telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kesalahan yang disyaki dilakukan mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, JAIS menasihatkan umat Islam supaya tidak mengaibkan mana-mana individu dengan menjadikan perkara berkenaan sebagai bahan spekulasi, perdebatan atau fitnah dalam apa jua cara.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Pengarah JAIS, Datuk Haji Mohd Shahzihan Ahmad, pada 16 Okt 2026.

