Siakap Keli
12 penumpang cedera turbulensi qatar airways
Sumber: The Independent

Pesawat Qatar Airways Doha-Dublin Alami Gelora Udara, 12 Penumpang Cedera

Pesawat Qatar Airways Doha-Dublin Alami Gelora Udara, 12 Penumpang Cedera

12 penumpang dilaporkan cedera ketika penerbangan Qatar Airways dari Doha ke Dublin mengalami gelora udara, lapor The Independent.

Lapangan Terbang Dublin melaporkan bahawa enam penumpang dan enam kru penerbangan Qatar Airways tersebut mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, penerbangan QR017 itu mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Dublin seperti yang dijadualkan, sebelum jam 1 petang pada Ahad.

“Sejurus mendarat, ia disambut oleh perkhidmatan kecemasan termasuk Polis Lapangan Terbang serta Jabatan Bomba dan Penyelamat kerana enam penumpang dan enam kru dilaporkan cedera selepas pesawat mengalami gelora udara semasa terbang di ruang udara Turki,” menurut kenyataan Lapangan Terbang Dublin di akaun rasmi X.

Tambah kenyataan itu lagi, penerbangan pergi balik ke Doha (penerbangan QR018) dijadualkan beroperasi seperti biasa petang Ahad, walaupun mengalami sedikit kelewatan.

Selain itu, operasi penerbangan di Lapangan Terbang Dublin juga dilaporkan tidak terjejas dan diteruskan seperti biasa pada petang Ahad.

Dalam pada itu, kejadian terbaru ini berlaku beberapa hari selepas seorang lelaki British terbunuh dalam penerbangan Singapore Airlines dari Heathrow ke Singapura mengalami gelora udara teruk.

Mangsa, seorang bapa kepada dua anak dan pengarah teater yang sedang bercuti dengan isterinya, meninggal dunia akibat serangan jantung.

Lima puluh orang lagi cedera selepas penumpang yang tidak memakai tali pinggang terhempas ke siling kabin apabila pesawat jatuh 6,000 kaki dalam beberapa minit.

Singapore Airlines melaporkan bahawa penerbangan tersebut mengalami “gelora udara ekstrem secara tiba-tiba” kira-kira 10 jam selepas berlepas ketika terbang di atas Lembangan Irrawaddy di Myanmar pada ketinggian 37,000 kaki.

Ini memaksa juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan dan mendarat di Bangkok kira-kira 90 minit sebelum destinasi yang dijadualkan.

BACA: Simbah Asid Faisal Halim: Tiga Cap Jari Di Lokasi Kejadian Tiada Rekod Dalam JPN

Sumber: The Independent

Sharifah Hannah Adibah