Siakap Keli
serangan udara kem rafah
Gambar: Anadolu

30 Terkorban Dalam Serangan Udara Di Rafah

Sekurang-kurangnya 30 Terkorban Dalam Serangan Udara Di Rafah

Sekurang-kurangnya 30 rakyat Palestin terkorban dalam serangan udara yang dilancarkan Israel di bandar Rafah, selatan Gaza yang dikhususkan untuk pelarian pada Ahad, lapor Agensi Anadolu.

Perkara itu dimaklumkan oleh sumber perubatan dan pegawai Gaza sambil menambah serangan tersebut menyebabkan puluhan orang cedera selain ramai kehilangan tempat tinggal.

Difahamkan, serangan berlaku berhampiran pangkalan logistik agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di Tal al-Sultan.

Media tempatan melaporkan pesawat Israel menyasarkan beberapa khemah di kawasan itu dengan menggunakan peluru berpandu dan juga bom.

Pasukan pertahanan awam Gaza sebelum ini berkata, pihaknya telah membawa keluar 50 orang, termasuk yang terkorban dan cedera selepas pengeboman di kawasan perlindungan yang menempatkan sekurang-kurangnya 100,000 orang.

Dalam pada itu, perkhidmatan kecemasan awam dan kesihatan Palestin dalam satu kenyataan ringkas berkata kru ambulansnya sedang memindahkan mangsa ke pusat perubatan berhampiran.

Gambar: Eyad Baba / AFP

“Kami membawa sejumlah besar kanak-kanak yang syahid daripada pengeboman Israel, termasuk seorang kanak-kanak tanpa kepala dan kanak-kanak yang mayatnya telah hancur,” kata seorang paramedik Palestin kepada Anadolu.

BACA: Tayar ‘Haus’, Lelaki Kongsi Cara Kenal Pasti Punca Sebelum Tukar Tayar Baharu

“Sekurang-kurangnya 190 rakyat Palestin terbunuh dan cedera dalam 24 jam terakhir susulan tentera Israel menyasarkan lebih daripada 10 tempat perlindungan untuk orang yang kehilangan tempat tinggal di Semenanjung Gaza,” maklumnya lagi.

Israel telah membunuh hampir 36,000 rakyat Palestin di Semenanjung Gaza sejak serangan rentas sempadan oleh Hamas pada 7 Oktober tahun lalu, yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang.

Peperangan itu telah mengubah sebahagian besar kawasan 2.3 juta orang menjadi medan perang dengan runtuhan, menyebabkan kebanyakan orang awam kehilangan tempat tinggal dan berisiko mengalami kebuluran.

Sementara itu, CNN melaporkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mendakwa serangan tersebut berjaya menbunuh dua pegawai kanan Hamas.

ICJ Arah Israel Henti Operasi Ketenteraan Di Rafah

Sebelum ini, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah mengarahkan Israel menghentikan operasi ketenteraan di Rafah dalam satu perbicaraan pada Jumaat.

Sumber: Agensi Anadolu, CNN

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?