Siakap Keli
KWSP pindahan Akaun Fleksibel
Kredit: Bernama

KWSP Catat 2.86 Juta Permohonan Pindahan Ke Akaun Fleksibel

KWSP Catat 2.86 Juta Permohonan Pindahan Ke Akaun Fleksibel

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menerima sebanyak 2.86 juta permohonan untuk memindahkan amaun permulaan dari Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel, melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM8.78 bilion setakat 22 Mei tahun ini.

Ketua Pegawai Operasinya, Sazaliza Zainuddin menyatakan bahawa sejak pilihan pemindahan ini dibuka pada 12 Mei lalu, sebanyak 3.04 juta permohonan pengeluaran dari Akaun Fleksibel telah diluluskan, dengan nilai keseluruhan RM5.52 bilion.

“KWSP menjangkakan jumlah permohonan untuk pemindahan amaun permulaan daripada Akaun Sejahtera mereka kepada Akaun Fleksibel akan terus meningkat sehingga tarikh tutup pada 31 Ogos 2024.

“Kami juga gembira melihat peningkatan ketara permohonan melalui aplikasi mudah alih KWSP i-Akaun.

“Ini mencerminkan usaha kami untuk meningkatkan pengalaman dan kebolehcapaian pengguna, di samping kami terus berinovasi dan mengembangkan penawaran digital kami,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, KWSP dilaporkan telah memperkenalkan Akaun Fleksibel yang membolehkan ahli mengeluarkan simpanan pada bila-bila masa untuk sebarang tujuan.

Dalam pada itu, Sazaliza menasihatkan ahli-ahli supaya tidak tergesa-gesa untuk memindahkan simpanan ke Akaun Fleksibel, memandangkan tarikh tutup pemindahan adalah pada 31 Ogos tahun ini.

“Ahli yang masih belum mendaftar dengan KWSP i-Akaun digalakkan berbuat demikian bagi membolehkan transaksi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel.

“Ahli dinasihatkan untuk mendaftar atau mengemas kini nombor telefon bimbit mereka melalui Terminal Layan Diri (SST) yang terdapat di mana-mana cawangan KWSP bagi tujuan menerima Kod Kebenaran Urus Niaga (TAC) bagi mengesahkan identiti mereka semasa menjalankan transaksi.

“Pengeluaran dari Akaun Fleksibel boleh dibuat pada bila-bila masa untuk sebarang tujuan, dengan pengeluaran minimum RM50,” ujarnya.

BACA: 17 Hafiz Al-Quran SM Imtiaz Kuala Terengganu Raih 12A SPM

Sumber: Sinar Harian

Sharifah Hannah Adibah