Siakap Keli
regency

Regency Specialist Hospital Bakal Anjurkan Kempen Saringan Diabetes 3 Hari

Regency Specialist Hospital Bakal Anjurkan Kempen Saringan Diabetes 3 Hari

JOHOR BAHRU, 27 Mei 2024 – Regency Specialist Hospital (Regency), pelopor penjagaan kesihatan terkemuka yang komited terhadap kesejahteraan komunitinya, bakal menganjurkan Saringan Komuniti Penjagaan Diabetes (Diabetes Care Community Screening) pada 28 hingga 30 Jun 2024 di Regency Medical Care Centre (RMCC) yang terletak di The Mall, Mid Valley Southkey, Johor Bahru.

Kempen ini bertujuan untuk memberikan kesedaran tentang diabetes serta menggalakkan amalan pengurusan kesihatan yang proaktif, khususnya individu yang berumur 18 tahun ke atas sekitar Johor Bahru.

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, dianggarkan 1 daripada 6 rakyat Malaysia menghidapi diabetes. Tinjauan itu turut mendapati bahawa 84% daripada mereka yang berumur antara 18-29 tahun tidak sedar menghidap diabetes.

Menyedari jumlah yang membimbangkan dan semakin meningkat ini, Regency terpanggil untuk menganjurkan kempen ini bertujuan menggalakkan orang ramai agar sentiasa peka dalam mengurus tahap kesihatan melalui pengesanan awal dan pencegahan. 

Sepanjang kempen tiga hari ini, para peserta akan ditawarkan saringan diabetes HbA1c secara percuma di RMCC. Mereka juga boleh menjalankan pemeriksaan mata secara percuma untuk peserta dan ujian mata “Fundus” khas untuk warga emas. Acara berkonsepkan karnival ini juga bakal menyediakan reruai pendidikan, ceramah kesihatan yang bermanfaat serta cabutan bertuah harian. 

Bersempena dengan ulang tahun ke-15 Regency, pihak hospital menyasarkan untuk mencipta rekod Malaysia bagi jumlah saringan HbA1c tertinggi dalam tempoh tiga hari, dengan sasaran 3,000 peserta. Usaha ini adalah kesinambungan kejayaan pertama hospital yang dicapai pada tahun 2019, di mana mereka telah mencatat rekod penyertaan terbesar dalam Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) beramai-ramai, kolaborasi bersama Pusat Perubatan Mahkota, dengan kehadiran luar biasa lebih 10,000 peserta.

Peserta juga merupakan antara pelawat pertama di RMCC yang akan dilancarkan tidak lama lagi dan ia bermatlamat untuk menambahbaik perjalanan kesihatan dengan menawarkan perkhidmatan berkualiti tinggi dalam persekitaran yang selesa dan mudah diakses.

Dengan pendekatan berpusatkan pesakit, RMCC akan menggunakan teknologi canggih untuk diagnosis pantas, pengesanan awal melalui pemeriksaan kesihatan dan perkhidmatan pengurusan kesihatan yang dipertingkatkan bagi memastikan pengalaman penjagaan kesihatan yang komprehensif untuk individu dari semua peringkat umur.

“Di Regency, kami komited terhadap kesihatan masyarakat dan akan terus menggalakkan orang ramai untuk mengambil pendekatan yang lebih proaktif terhadap kesihatan mereka. Kempen Saringan Komuniti Penjagaan Diabetes kami bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai diabetes di samping menegaskan komitmen mendalam kami terhadap kesihatan masyarakat,” kata Serena Yong, Ketua Pegawai Eksekutif Regency.

Butiran mengenai Kempen Saringan Komuniti Penjagaan Diabetes adalah seperti berikut:

Tarikh: 28 Jun 2024 (Jumaat) – 30 Jun 2024 (Ahad)

Masa: 10:00pg – 7:00ptg 

Tempat: Regency Medical Care Centre (RMCC),  

The Mall, Mid Valley Southkey (Ground Floor, North Court) 

Sila layari Saringan Komuniti Penjagaan Diabetes Regency.

Nurul Naqiyah