KKM Kesan Tiga Produk Kosmetik Mengandungi Racun
PUTRAJAYA — Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan tiga produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual iaitu merkuri.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan menerusi satu kenyataan media yang diterbitkan di laman media sosial kementerian berkenaan, hari ini.
Menurut KKM, produk berkenaan adalah N Glowing EWSB mengandungi racun berjadual merkuri.
Manakala Karisma Golden Turmeric Cream pula mengandungi racun berjadual Merkuri dan Betamethasone 17- Valeratedan.
Satu lagi produk SL Two Intensive mengandungi racun berjadual Hydroquinone dan Betamethasone 17- Valeratedan.
Susulan itu, notifikasi ketiga-tiga produk kosmetik tersebut telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

Tambahan lagi, KKM turut memberi peringatan kepada penjual dan pengedar produk berkenaan.
“Penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk komestik tersebut dengan serta-merta
“Penjualan dan pengedaran produk komestik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Komestik 1984,” ujar KKM.
Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25, 000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.
Lanjutan daripada itu, denda tidak melebihi RM50, 000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikut.
Manakala syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100, 000 untuk kesalahan berikutnya.
Menurut KKM lagi, orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya.
BACA: Polis Temukan Anggota Badan Ahli Parlimen Bangladesh Yang Dibunuh Di India
Selain itu, dapatkan nasihatkan nasihat dari ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.
Orang awam juga turut digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk komestik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.
Perihal bahan racun berjadual
Jelas KKM lagi, merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.
Hal ini boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.
Sementara itu, produk yang mengandungi Hydroquinone, dan Betamethasone 17- Valerate merupakan ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah. Ia hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.
Oleh itu, penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini.
Sumber: KKM