Salah Faham Arahan Alih Kenderaan Punca Lelaki OKU Dipukul Pengawal Peribadi Kenamaan
KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) — Salah faham terhadap arahan pergerakan bagi mengalihkan kenderaan dipercayai menjadi punca seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) dipukul pengawal peribadi seorang kenamaan di lobi sebuah hotel di sini semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pihaknya menerima laporan pada 1 tengah hari semalam oleh mangsa yang merupakan pemandu e-panggilan mendakwa telah diserang oleh seorang individu yang merupakan pengiring kepada rombongan kenamaan.
“Mangsa yang berusia 46 tahun kemudian telah membuat laporan kedua pada pukul 9.59 malam tadi menyatakan telah menyelesaikan perkara yang berlaku secara baik serta tidak mahu memanjangkan kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan laporan media, seorang pemandu e-panggilan membuat laporan polis selepas mendakwa dipukul pengawal peribadi ketika menunggu penumpang di sebuah hotel di Brickfields, semalam.
Pemandu itu mendakwa ditumbuk di kepala dan diminta untuk mengalihkan kenderaannya.
Susulan itu, pemandu terbabit kemudian membuat laporan polis selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
BACA JUGA: Polis Sahkan Terima Laporan Lelaki OKU Dipukul Pengawal Peribadi Kenamaan
Sumber: BERNAMA