Enam Doktor Malaysia Selamat Melintasi Sempadan Keluar Dari Gaza
Seramai enam ahli Pasukan Perubatan Kecemasan 4 berjaya keluar dari Gaza dengan selamat melalui sempadan, lapor Sinar Harian.
Mercy Malaysia dalam satu kenyataan menyatakan bahawa kejayaan ini mungkin tercapai berkat bantuan dan penyelarasan yang amat bernilai dengan Sel Penyelarasan Pasukan Perubatan Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO-EMTCC).
Menurut kenyataan tersebut, pasukan perubatan ini telah bekerja tanpa henti di lapangan untuk menyediakan perkhidmatan perubatan kecemasan dan bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan oleh penduduk tempatan.
“Usaha WHO-EMTCC dalam memastikan laluan dan menjamin keselamatan sukarelawan kami adalah sangat penting.
“Kami melanjutkan setinggi-tinggi penghargaan kepada WHO-EMTCC atas sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Dalam pada itu, Mercy Malaysia juga menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kedutaan Malaysia di Amman, Jordan, kerana telah menerima dan membantu pasukan perubatan tersebut ketika mereka melintasi sempadan.
Pihak kedutaan telah menyediakan segala bantuan yang diperlukan dan memastikan kesejahteraan pasukan sepanjang proses peralihan tersebut.
“Kehadiran dan sokongan mereka sepanjang dalam proses membawa keluar pasukan sangat penting.
“Kakitangan kedutaan itu turut sama berada dengan pasukan dari ibu pejabat Mercy Malaysia untuk mengeluarkan mereka pasukan dari Gaza,” ujarnya.
Tambah Mercy Malaysia, terdahulu mereka telah menghantar tiga Pasukan Perubatan Kecemasan secara bergilir-gilir sejak Februari 2024.
Setiap pasukan memainkan peranan penting dalam menyediakan rawatan perubatan kritikal dan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang terjejas akibat konflik yang berterusan di Gaza.
“Kami kekal dengan misi menyediakan bantuan perubatan dan kemanusiaan bantuan kepada komuniti dalam krisis, namun dalam masa sama memastikan keselamatan dan kesejahteraan sukarelawan kekal sebagai keutamaan,” jelasnya.
BACA: Kanser Paru-Paru: Saringan Bersasar Digalakkan, Kesan Penyakit Lebih Awal
Sumber: Sinar Harian