Siakap Keli
Wanita maut tercampak keluar kereta
Sumber: Sinar Harian

Kereta Terbabas Masuk Parit, Wanita Maut Tercampak Keluar Dari Kereta

Kereta Terbabas Masuk Parit, Wanita Maut Tercampak Keluar Dari Kereta

Seorang wanita maut selepas tercampak keluar dari kereta yang dipandu oleh suaminya dalam satu kemalangan yang berlaku di Kilometer 27, Jalan Pan Borneo pada Isnin.

Dalam insiden yang terjadi sekitar jam 5 petang itu, mangsa yang berusia 44 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

Suaminya yang berusia 39 tahun mengalami kecederaan, manakala anak lelaki mereka yang berusia 16 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka, menyatakan bahawa kejadian tersebut berlaku apabila kereta jenis Proton Saga yang dinaiki mereka terbabas.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati bahawa keluarga tersebut sedang dalam perjalanan dari Penampang menuju ke Labuan, dan ketika kejadian keadaan cuaca hujan lebat.

“Pemandu dipercayai hilang kawalan menyebabkan kereta terbabas dan berpusing lalu masuk ke dalam parit di bahu kiri jalan.

“Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Papar dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman, melaporkan bahawa seramai 11 anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

Jelas beliau, kereta tersebut masuk ke dalam parit sejauh kira-kira 50 meter dari jalan raya.

“Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas, manakala seorang lagi telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan tiba,” katanya.

BACA: Peguam Tidak Lagi Mewakili Ibu Bapa Zayn Rayyan Bermula Hari Ini

Sumber: Sinar Harian

Sharifah Hannah Adibah