Pemuda Ini Kongsi Kisah ‘Ops Piramid 2011’, Pengalaman Terbang Bersama C-130 Hercules
Setiap kali melihat C-130 Hercules, seorang pengguna media sosial menerusi TikTok peribadinya, @Mooze, pasti akan terkenang peristiwa penuh debaran dan mungkin sedikit ‘mengerikan’ yang pernah dialaminya suatu ketika dahulu.
“Semasa sambutan Hari Ulang Tahun TUDM yang ke-66 di Kuantan, C-130 Hercules mungkin tidak kelihatan ‘gah’ seperti pesawat lain, tetapi bagi saya, pesawat ini mempunyai tempat istimewa dalam hati,” katanya.

Menurut perkongsian beliau, pada tahun 2011, ketika Kerajaan Mesir di bawah Hosni Mubarak tumbang dan pergolakan yang dikenali sebagai ‘Arab Spring’ melanda Timur Tengah, menyebabkan laluan keluar-masuk negara itu ditutup.
Ketika itu, dipercayai seramai 11,000 pelajar dan pegawai kedutaan Malaysia terkandas di Mesir, termasuk beliau.
Susulan itu, tiga pesawat TUDM C-130 dikerahkan oleh Kerajaan Malaysia dengan kadar segera dalam satu operasi untuk membawa pulang seramai mungkin rakyat Malaysia yang terkandas di Mesir.
Operasi yang dikenali sebagai ‘Ops Piramid’ itu menunjukkan keupayaan TUDM dalam mengevakuasi 3,482 rakyat Malaysia dari Mesir ke Jeddah dengan tiga pesawat C-130 antara 3 hingga 7 Februari 2011.
“Saya dan rakan-rakan mendapat maklumat kecemasan dari pihak kedutaan untuk mengemas barang yang penting dan bersedia untuk dievakuasi dalam masa 24 jam.
“Kami diambil dengan van dan dihantar ke Dewan Kedutaan Malaysia di Abbasiyah, Kaherah. Bayangkan, beribu pelajar Malaysia dikumpulkan di satu tempat yang sempit untuk berehat,” katanya.
Ketika pergolakan tersebut, sebarang bentuk komunikasi telah disekat oleh Kerajaan Mesir. Mangsa yang terkandas tidak boleh menghubungi keluarga atau rakan, dan keluarga hanya boleh mendapatkan khabar daripada pihak kedutaan melalui berita setiap malam.
BACA: Ramai Tak Sedar, Penapis Air ‘Makan’ Elektrik Kuat Macam Peti Ais & “Aircond”
Selepas beberapa hari, dia dan rakannya dibawa dari dewan ke lapangan terbang untuk evakuasi. Pada ketika ini, kerajaan telah berjaya membawa keluar separuh daripada pelajar yang terkandas di Mesir.
“Sepanjang perjalanan ke lapangan terbang, keadaan sangat kucar-kacir. Askar mengambil alih dan kelihatan ada di mana-mana. Setiap lebih kurang 5 kilometer, pasti ada sekatan jalan dengan perisai dan kereta kebal,” ujarnya.
Setibanya di lapangan terbang pada pukul 7 pagi, mereka diarahkan untuk menunggu giliran sebelum boleh masuk ke dalam pesawat.
“Ingatkan boleh balik awal, tapi tidak. Dalam khemah, masih ramai yang menunggu giliran dari hari sebelumnya.
“Nak solat pun askar tidak benarkan masuk ke dalam lapangan terbang, terpaksa solat di luar dalam cuaca sejuk,” tambahnya.
Akhirnya, namanya dipanggil pada pukul 11 malam setelah menunggu sejak awal pagi.
“Rasa pelik sebab tiket penerbangan tidak nyatakan nama airlines. Apa-apa pun, kami tetap teruja nak naik kapal terbang sebab ingatkan naik MAS atau AirAsia. Tapi rupa-rupanya, jodoh kami terbang dengan C-130.
“Keadaan dalam C-130 sangat sesak, dengan 200 hingga 250 orang disumbat dalam satu pesawat besar itu.
“Tiada kerusi atau tingkap. Semua orang duduk bersila atau terpaksa berdiri dan berpegang kepada apa-apa semasa berlepas dan mendarat. Dapat juga merasa makanan tentera kita., walaupun sambal ikan bilis, sedap sangat,” katanya.
Selepas tiga jam, mereka tiba di Jeddah dan disambut pasukan perubatan. Mereka ditempatkan di suatu penempatan yang disediakan oleh pihak Tabung Haji buat sementara waktu.
Siapa sangka, itulah kenangan yang paling tidak terlupakan oleh beliau sehingga kini.
“Walaupun kau sudah usang, tua dan mungkin tidak berguna di mata yang lain, tidak semua tahu perjuangan dan dedikasimu untuk negara. Aku pernah melihat dan merasainya sendiri.
“Terima kasih ‘Fat Albert’ untuk memori yang dulu dikira pahit, tetapi manis untuk dikenang kini. Terima kasih yang tidak terhingga juga buat anggota yang terlibat dalam ‘Ops Piramid’,” ungkapnya penuh penghargaan kepada C-130 dan anggota yang terlibat dalam Ops Piramid 2011.
BACA: Ramai Tak Sedar, Pakar Dedah 5 Sebab Duit KWSP Cepat Habis
Sumber: Mooze via TikTok