Siakap Keli
bas rompin hasnatul adilah
Gambar: BERNAMA

Nahas Bas Rompin: Hasnatul Adilah Sempat Tanya Keadaan Anaknya

Nahas Bas Rompin: Hasnatul Adilah Sempat Tanya Keadaan Anaknya

ROMPIN, 9 Jun (Bernama) — Mangsa yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau awal pagi tadi, Hasnatul Adilah Hassan, 48, sempat bertanyakan keadaan anaknya sebelum menghembuskan nafas terakhir di lokasi kejadian.

Perkara itu dikongsikan rakan setugasnya Asmaniza Mohamad, 50, yang memaklumkan Hasnatul Adilah yang juga Penolong Kanan di Sekolah Kebangsaan Jeram, Melaka ditemukan dalam keadaan tertiarap di luar bas.

“Arwah sempat tanya keadaan anak bongsunya yang turut sama dalam bas berkenaan, saya cakap anaknya ada di dalam bas, seorang rakan kami sempat mengajarnya mengucap,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Muadzam Shah di sini, hari ini.

Berkongsi detik cemas itu, Asmaniza yang dikenali sebagai Cikgu Za berkata ketika kejadian beliau yang berada di bahagian belakang bas sedang tidur, namun terkejut apabila dihempap penumpang lain selepas bas berkenaan terbalik.

“Ketika itu memang gelap dan hanya (kedengaran) bunyi berlanggar, saya cuba untuk buka pintu kecemasan tetapi tidak boleh, namun berjaya keluar melalui pintu kecil di bahagian atas bas,” katanya.

BACA: Nahas Bas Rompin: Mangsa Ketiga Meninggal Dunia

Selepas berjaya keluar beliau sempat membantu beberapa rakan lain yang berada di dalam bas sebelum mereka dibawa ke hospital sama untuk pemeriksaan lanjut.

Difahamkan anak lelaki Hasnatul Adilah dikenali sebagai Farouq berusia 12 tahun sedang mendapatkan rawatan di zon kuning hospital tersebut.

Nahas itu mengorbankan tiga individu termasuk Hasnatul Adilah selain seorang lagi guru Hamzah Ahmad, 60, dan pemandu bas kedua Mohd Adi Hasan, 29.

Dalam kejadian sekitar 1 pagi itu, bas yang membawa 39 penumpang temasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.

Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan membawa guru dari Sekolah Kebangsaan Jeram Masjid Tanah, Melaka bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?