Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pernah Tertanya-Tanya Kenapa Kebanyakan Kapal Terbang Berwarna Putih? Ini Sebabnya

PESAWAT
Kredit: Menkor Aviation

Pernahkah anda perasan kebanyakan kapal terbang komersial di lapangan terbang mempunyai satu persamaan iaitu warna putih lebih mendominasi badan pesawat, manakala warna lain biasanya hanya digunakan pada bahagian ekor?

Bagi peminat dunia penerbangan, keadaan itu mungkin membuatkan kebanyakan pesawat kelihatan hampir sama. Tidak hairanlah pesawat dengan kemasan khas sering menjadi antara yang paling menarik perhatian dan kerap dijejaki.

Namun, pemilihan warna putih pada pesawat bukan sekadar soal penampilan. Ada beberapa sebab praktikal di sebaliknya.

1. Kurangkan Kos

Industri penerbangan sememangnya sangat menitikberatkan kos, termasuk dalam aspek pengecatan pesawat.

Sebuah pesawat berbadan lebar berenjin berkembar lazimnya memerlukan sekitar 80 hingga 120 gelen cat, dengan kos yang boleh mencecah AS$300,000.

Cat berwarna putih pula dikatakan lebih lambat pudar berbanding warna gelap, sekali gus membolehkan pesawat tidak perlu dicat semula dengan kerap.

Bagaimanapun, dakwaan bahawa cat putih lebih ringan berbanding warna gelap secara umum dianggap sebagai mitos.

2. Membantu Kawal Suhu Pesawat

Warna putih mempunyai keupayaan memantulkan cahaya matahari, sekali gus membantu memastikan permukaan pesawat lebih sejuk.

Kelebihan itu menjadi lebih penting ketika pesawat bergerak pada kelajuan tinggi kerana geseran dengan udara boleh menyebabkan permukaan pesawat menjadi sangat panas.

Antara contoh yang sering dikaitkan dengan perkara ini ialah pesawat supersonik Concorde, yang menggunakan badan berwarna putih bagi membantu melindungi pesawat daripada suhu sekitar 127 darjah Celsius pada bahagian hadapan ketika penerbangan supersonik.

3. Mudah Kesan Kebocoran Dan Lebih Selamat

Kebanyakan cecair yang terdapat dalam pesawat seperti bahan api, minyak dan cecair hidraulik mempunyai warna yang lebih gelap.

Justeru, permukaan putih memudahkan kakitangan penyelenggaraan mengesan sebarang kebocoran pada badan pesawat.

Warna putih juga menjadikan pesawat lebih mudah dilihat ketika operasi mencari dan menyelamat.

Malah, pesawat berwarna putih lebih mudah dilihat oleh burung, sekali gus membantu meningkatkan tahap keterlihatan ketika berada di udara.

4. Mudah Tukar Pemilik Atau Syarikat Penerbangan

Sekitar separuh daripada pesawat komersial di seluruh dunia adalah pesawat yang dipajak.

Ini bermakna sesebuah pesawat boleh bertukar pengendali selepas tempoh pajakan berakhir. Dalam keadaan seperti itu, kemasan yang kebanyakannya berwarna putih lebih mudah dan murah untuk ditukar kepada identiti syarikat penerbangan baharu.

Warna Ekor Jadi Identiti Syarikat

Walaupun putih mendominasi badan pesawat, syarikat penerbangan tetap menggunakan warna dan corak tertentu bagi membezakan identiti masing-masing.

Salah satu reka bentuk yang pernah popular ialah ‘cheatline’, iaitu garisan berwarna yang memanjang mengikut bahagian tingkap pesawat. Reka bentuk itu banyak digunakan sekitar tahun 1950-an hingga 1980-an sebelum semakin kurang digunakan.

Antara syarikat penerbangan yang masih menggunakan elemen sedemikian ialah Singapore Airlines.

Namun, bahagian ekor pesawat kekal sebagai antara ruang utama untuk menonjolkan identiti dan jenama sesebuah syarikat penerbangan.

Dalam reka bentuk moden, warna pada ekor juga semakin banyak disambungkan ke bahagian belakang badan pesawat.

Ada Juga Yang Berani Keluar Daripada Kebiasaan

Tidak semua syarikat penerbangan memilih kemasan putih sebagai warna utama.

Southwest Airlines misalnya menggunakan warna biru, kuning dan merah pada hampir keseluruhan badan pesawat, menjadikannya antara kemasan yang paling kurang menggunakan warna putih.

Di Eropah pula, PLAY Airlines tampil dengan kemasan merah dan merah jambu yang cukup menyerlah.

Menariknya, reka bentuk dengan penggunaan warna yang lebih berani seperti ini lebih banyak dilihat dalam kalangan syarikat penerbangan tambang rendah.

Ia menunjukkan bahawa bagi sesetengah pengendali, usaha menonjolkan identiti jenama mungkin lebih penting berbanding kos tambahan untuk penggunaan cat.

Intipati
  • Warna putih pada pesawat dipilih kerana faktor kos, ketahanan cat dan penyelenggaraan.
  • Permukaan putih membantu memantulkan cahaya matahari serta memudahkan kebocoran dikesan kakitangan penyelenggaraan.
  • Ekor pesawat kekal ruang utama syarikat penerbangan menonjolkan identiti dan jenama masing-masing.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan