Ketika menaiki kapal terbang, penumpang biasanya sudah biasa dengan beberapa arahan keselamatan seperti memasang tali pinggang keledar, menukar telefon kepada mod kapal terbang dan mendengar taklimat keselamatan daripada kru kabin.
Namun, pernahkah anda terfikir mengapa penumpang turut diminta melipat dan mengunci meja kecil di hadapan tempat duduk ketika kapal terbang hendak berlepas serta mendarat?
Walaupun kelihatan seperti perkara kecil, arahan tersebut sebenarnya mempunyai kaitan rapat dengan keselamatan penumpang, khususnya jika berlaku kecemasan yang memerlukan semua orang keluar dari pesawat dengan segera.

Mengapa Meja Kapal Terbang Perlu Dilipat Ketika Berlepas Dan Mendarat?
Sebab utama peraturan ini diperkenalkan adalah untuk memastikan proses pemindahan penumpang ketika kecemasan dapat dilakukan dengan pantas dan selamat.
Menerusi satu video penerangan, seorang juruterbang dan YouTuber dikenali sebagai Captain Steeve menjelaskan bahawa Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) menetapkan keperluan supaya semua penumpang dapat keluar dari pesawat dalam tempoh 90 saat atau kurang ketika ujian pemindahan kecemasan.
Beliau berkata, tempoh tersebut sangat singkat dan setiap saat memainkan peranan penting sekiranya penumpang perlu meninggalkan pesawat dengan segera.
Menurutnya, meja yang dibiarkan terbuka boleh menjadi penghalang kepada pergerakan penumpang ketika proses pemindahan kecemasan.
Keadaan itu bukan sahaja boleh menyukarkan penumpang yang duduk di tempat berkenaan untuk keluar, malah berpotensi menghalang penumpang di belakang daripada bergerak dengan pantas.
Justeru, meja perlu dilipat dan dikunci bagi memastikan ruang di hadapan tempat duduk tidak terhalang serta laluan keluar lebih mudah diakses.
Peraturan tersebut merupakan salah satu langkah keselamatan yang diamalkan syarikat penerbangan bagi membantu melancarkan proses pemindahan penumpang ketika fasa penerbangan yang kritikal, termasuk berlepas dan mendarat.
Ini Sebab Tempat Duduk Juga Perlu Ditegakkan
Selain meja kecil, penumpang turut diminta memastikan tempat duduk berada dalam kedudukan tegak ketika kapal terbang hendak berlepas dan mendarat.
Arahan ini juga mempunyai tujuan keselamatan yang sama, iaitu memastikan laluan pergerakan penumpang tidak terhalang sekiranya berlaku kecemasan.
Tempat duduk yang direbahkan boleh menyukarkan penumpang di belakang untuk bergerak keluar dengan pantas menuju ke lorong kabin.
Oleh itu, kedua dua arahan tersebut, iaitu melipat meja dan menegakkan tempat duduk, bertujuan memastikan ruang kabin lebih teratur serta laluan keluar dapat digunakan tanpa halangan.
Jadi, selepas ini apabila kru kabin meminta anda melipat meja dan menegakkan tempat duduk sebelum kapal terbang berlepas atau mendarat, arahan tersebut bukan sekadar prosedur rutin.
Sebaliknya, setiap langkah kecil itu merupakan sebahagian daripada usaha memastikan keselamatan semua penumpang sekiranya berlaku kecemasan.

