Pernahkah anda tertanya tanya mengapa lampu di dalam kabin pesawat akan dimalapkan ketika pesawat hendak berlepas dan mendarat, tidak kira sama ada pada waktu siang atau malam?
Rutin yang mungkin dianggap kurang selesa oleh sesetengah penumpang, terutama mereka yang sedang membaca, sebenarnya mempunyai tujuan penting berkaitan keselamatan penerbangan.
Menurut Ketua Juruterbang Air Tahiti Nui, Agnes Chantre, tindakan mengurangkan pencahayaan kabin membolehkan mata penumpang menyesuaikan diri dengan keadaan yang lebih gelap.
Beliau menjelaskan, mata manusia memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri apabila berada dalam persekitaran bercahaya terang sebelum melihat keadaan yang gelap.
Prosedur itu dilakukan bagi memendekkan tempoh penyesuaian tersebut sekiranya berlaku kecemasan yang memerlukan penumpang dan kru bertindak pantas.
Sementara itu, bekas pramugari Etihad Airways yang kini bertugas dalam penerbangan persendirian, Paula S. Adams berkata, lampu kabin dimalapkan ketika berlepas dan mendarat terutamanya bagi meningkatkan tahap keselamatan penumpang.
Menurutnya, kedua dua fasa penerbangan itu merupakan antara tempoh paling kritikal kerana kebanyakan insiden penerbangan berlaku ketika pesawat berlepas atau mendarat.
Katanya, sekiranya berlaku kecemasan seperti nahas, pembatalan proses berlepas atau pemindahan penumpang, penumpang dan kru perlu dapat melihat keadaan sekeliling serta menyesuaikan penglihatan dengan cepat.
Malah, data yang dilaporkan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menunjukkan lebih separuh kemalangan pesawat berlaku ketika fasa pendaratan.
Selain itu, fasa berlepas, pendekatan untuk mendarat dan pendakian awal turut dikenal pasti sebagai antara tempoh yang mempunyai risiko kemalangan lebih tinggi berbanding ketika pesawat berada pada altitud pelayaran.
Dalam pada itu, Adams menjelaskan pencahayaan kabin yang dimalapkan turut mengurangkan pantulan cahaya pada tingkap pesawat.
Keadaan itu membolehkan kru dan penumpang melihat dengan lebih jelas sebarang petunjuk bahaya di luar pesawat seperti kebakaran, asap atau serpihan.
Pada masa sama, pencahayaan yang lebih rendah memudahkan penumpang melihat penanda laluan kecemasan di lantai kabin yang menggunakan jalur bercahaya khas.
Menariknya, tindakan tersebut juga membantu menjimatkan penggunaan tenaga elektrik pesawat, meskipun jumlah penjimatan yang diperoleh adalah kecil.
Adams berkata, bagi sesetengah jenis pesawat, khususnya model lebih lama atau ketika menggunakan bekalan kuasa terhad, pengurangan penggunaan tenaga untuk sistem yang tidak penting dapat membantu mengutamakan bekalan kepada sistem kritikal penerbangan.
Justeru, tindakan meredupkan lampu kabin ketika pesawat berlepas dan mendarat bukan sekadar prosedur biasa atau bertujuan menjimatkan elektrik, sebaliknya merupakan salah satu langkah persediaan bagi memastikan penumpang dan kru dapat bertindak dengan lebih pantas sekiranya berlaku kecemasan.

