Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Rupanya Bukan Seorang, Ramai Terlibat Dalam Penciptaan Lampu Isyarat

Penciptaan Lampu Isyarat
Gambar Hiasan

Bagi mereka yang biasa memandu, lampu isyarat tentunya sudah menjadi sebahagian daripada rutin harian ketika berada di jalan raya.

Namun, pernahkah terfikir siapa individu di sebalik penciptaan lampu isyarat yang kini memainkan peranan penting dalam mengawal pergerakan lalu lintas?

Menariknya, lampu isyarat moden bukan hasil ciptaan seorang individu sahaja, sebaliknya melalui beberapa perubahan dan penambahbaikan sejak abad ke-19.

Penciptaan Lampu Isyarat, Bermula Dengan Sistem Isyarat Kereta Api

Sebelum kereta menjadi pengangkutan utama orang ramai, jalan raya di London sudah berdepan dengan kesesakan akibat kereta kuda dan pejalan kaki.

Disebabkan keadaan itu, seorang jurutera kereta api British, John Peake Knight mencadangkan penggunaan sistem isyarat kereta api untuk mengawal pergerakan lalu lintas.

Pada 9 Disember 1868, lampu isyarat pertama dunia dipasang berhampiran bangunan Parlimen Britain di Westminster, London.

Namun, reka bentuknya agak berbeza daripada lampu isyarat yang biasa dilihat kerana ia menggunakan lengan mekanikal dan lampu gas merah serta hijau.

Pada waktu siang, anggota polis mengendalikan lengan isyarat tersebut secara manual, manakala lampu gas digunakan untuk memberi arahan ketika malam.

Malangnya, sistem itu tidak bertahan lama apabila salah satu lampu gas dilaporkan meletup, sehingga mencederakan anggota polis bertugas.

Akibat kejadian tersebut, penggunaan sistem berkenaan dihentikan dan pembangunan lampu isyarat mengambil masa sebelum diperkenalkan semula menggunakan teknologi elektrik.

Kemunculan Lampu Isyarat Elektrik

Masuk awal abad ke-20, peningkatan jumlah kenderaan menyebabkan banyak bandar mula mencari kaedah lebih selamat untuk mengawal pergerakan pengguna jalan raya.

Pada 5 Ogos 1914, sistem lampu isyarat elektrik pertama Amerika Syarikat mula beroperasi di persimpangan Euclid Avenue, Cleveland, Ohio.

Sistem tersebut dibangunkan berdasarkan reka bentuk seorang pencipta bernama James Hoge, yang menggunakan lampu merah dan hijau sebagai arahan berhenti serta bergerak.

Berbeza dengan sistem terdahulu, lampu elektrik itu dikendalikan melalui suis yang membolehkan anggota polis mengawal pertukaran isyarat dari pondok berhampiran.

Walaupun lebih praktikal, sistem tersebut masih mempunyai kekurangan kerana pemandu tidak menerima sebarang amaran sebelum lampu bertukar daripada hijau kepada merah.

Siapa Pula Yang Memperkenalkan Lampu Kuning?

Jika diperhatikan, lampu isyarat hari ini mempunyai tiga warna utama iaitu merah, kuning dan hijau untuk mengawal pergerakan kenderaan.

Sistem tiga warna itu mula diperkenalkan sekitar 1920 menerusi usaha seorang anggota polis Detroit bernama William Potts.

Beliau menambah lampu kuning sebagai isyarat amaran supaya pemandu mempunyai masa mencukupi untuk memperlahankan kenderaan sebelum berhenti.

Penambahan tersebut menjadikan sistem lampu isyarat lebih mudah difahami kerana pemandu tidak lagi perlu membuat keputusan secara mengejut.

Garrett Morgan Turut Menyumbang Kepada Perkembangan Lampu Isyarat

Selain nama-nama tersebut, seorang pencipta berbangsa Afrika-Amerika bernama Garrett Augustus Morgan turut memainkan peranan penting dalam sejarah perkembangan lampu isyarat.

Pada 1923, beliau memperoleh paten bagi sistem isyarat tiga kedudukan yang direka untuk mengurangkan risiko kemalangan di persimpangan jalan raya.

Berbeza daripada sistem biasa, ciptaannya mempunyai kedudukan tambahan yang menghentikan pergerakan kenderaan dari semua arah sebelum laluan lain dibuka.

Ciri tersebut memberikan masa kepada pemandu memperlahankan kenderaan, selain membolehkan pejalan kaki melintas dengan lebih selamat.

Morgan kemudiannya menjual hak ciptaan tersebut kepada syarikat General Electric dengan nilai sebanyak AS$40,000 pada ketika itu.

Daripada Ciptaan Mekanikal Kepada Sistem Moden

Seiring perkembangan teknologi, lampu isyarat terus mengalami perubahan termasuk penggunaan sistem automatik dan kawalan berkomputer untuk menguruskan aliran trafik.

Hari ini, sistem berkenaan bukan sahaja membantu mengawal kesesakan, malah memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko kemalangan.

Jadi, apabila berhenti menunggu lampu bertukar hijau selepas ini, ingatlah bahawa kemudahan tersebut sebenarnya melalui perjalanan sejarah yang cukup panjang.

Intipati
  • Lampu isyarat pertama dunia dipasang di Westminster, London pada 9 Disember 1868.
  • Sistem elektrik pertama Amerika Syarikat beroperasi di Cleveland, Ohio pada 5 Ogos 1914.
  • William Potts memperkenalkan lampu kuning, manakala Garrett Morgan mematenkan sistem tiga kedudukan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan