Dah daftar MyDigital ID, tetapi setiap tahun masih perlu memperbaharui sijil digital? Bagi sesetengah pengguna, perkara ini mungkin nampak seperti satu lagi urusan yang menyusahkan.
Lebih-lebih lagi apabila identiti sudah disahkan ketika pendaftaran pertama, timbul persoalan kenapa proses sama perlu diperbaharui setiap tahun.
Ini Sebab MyDigital ID Perlu Diperbaharui Setiap Tahun
Menerusi video penerangan, MIMOS menjelaskan bahawa tarikh luput sebenarnya merupakan salah satu ciri keselamatan untuk melindungi identiti digital pengguna.
Menurut MIMOS, tempoh sah tersebut bertujuan memastikan identiti digital masih aktif dan benar-benar berada dalam kawalan pemilik sebenar.
Langkah ini juga membantu mengurangkan risiko identiti digital disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab, selain memastikan sistem sentiasa mengemas kini ciri keselamatan.
Bukan Untuk Susahkan Pengguna, Ini Fungsi Tarikh Luput
Untuk lebih mudah faham, sijil digital boleh dianggap seperti kunci elektronik yang digunakan bagi mengesahkan identiti seseorang ketika mengakses perkhidmatan dalam talian.
Berdasarkan maklumat di laman rasmi MyDigital ID, sijil digital mempunyai tempoh sah selama setahun bermula daripada tarikh pendaftaran.

Ini bermakna, tarikh luput tersebut bukan bermaksud identiti pengguna turut terpadam atau mereka perlu membuat pendaftaran baharu setiap tahun.
Sebaliknya, pengguna hanya perlu memperbaharui sijil digital melalui aplikasi MyDigital ID untuk meneruskan penggunaan perkhidmatan berkenaan.
Apa Jadi Kalau Terlupa Perbaharui MyDigital ID?
Jika sijil digital sudah tamat tempoh, pengguna tidak boleh menggunakannya untuk pengesahan identiti sehingga proses pembaharuan diselesaikan.
Jadi, sebaiknya semak tempoh sah sijil dalam aplikasi supaya tidak kelam-kabut apabila mahu menggunakan MyDigital ID untuk urusan penting.
Pendek kata, tarikh luput MyDigital ID bukan sekadar satu lagi perkara yang perlu diingat setiap tahun, tetapi sebahagian daripada usaha menjaga keselamatan identiti digital.

