Lelaki Ditemui Maut, Ditinggalkan Bogel Tepi Jalan
IPOH — Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan bogel di tepi jalan di hadapan sebuah kilang di Laluan Perusahaan Klebang dipercayai dibunuh.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihak telah menerima laporan daripada orang awam berhubung berlaku satu pergaduhan sekitar jam 12.20 tengah malam Isnin.
Bertindak atas maklumat, anggota polis telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
‘Siasatan awal oleh pihak polis di tempat kejadian mendapati seorang lelaki ditemui dalam keadaan bogel di tepi jalan dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri.
“Pemeriksaan lanjut ke atas badan mangsa terdapat kesan luka pada bahagian dada, telinga dan juga kaki mangsa,” maklumnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Abang Zainal, mayat lelaki itu telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan akibat kesan tikaman.
Kes itu diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ujarnya lagi, usaha mengesan suspek yang terlibat sedang dijalankan, dengan siasatan kes sedang dijalankan dan keterangan saksi-saksi terlibat akan diambil.
Sehubungan itu, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu untuk tampil memberi keterangan di balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyaisat kes ASP Norsaharah binti Marzuki di talian 010-3790508, termasuk ahli keluarga tampil untuk membuat pengecaman identiti mangsa.
“Pihak polis memandang serius kejadian ini dan menyeru orang ramai supaya bersabar dalam apa-apa jua keadaan dan tidak melalukan apa-apa perbuatan yang salah disisi undang-undang,” katanya.
Sumber: Polis Daerah Ipoh