Siakap Keli
filem "cells at work!"
Gandingan pelakon terkenal Mei Nagano dan Takeru Sato dalam filem aksi langsung 'Cells At Work'. Kredit X Saibou Movie.

Filem “Cells At Work!” Bakal Ditayangkan Pada Disember 2024

Filem “Cells At Work!” Bakal Ditayangkan Pada Disember 2024

Filem aksi langsung (live action) Cells At Work! yang bakal muncul di pawagam hujung tahun ini telah mengeluarkan trailer rasminya semalam. Trailer filem yang diadaptasi dari manga ini telah disiarkan di laman X rasmi filem tersebut.

Mei Nagano, pelakon yang akan melakonkan watak Sel Darah Merah dan Takeru Sato, pelakon bagi watak Sel Darah Putih muncul bersama pengarah filem, Hideki Takeuchi di Pusat Media Menara Tokyo dalam satu sidang media. Selain itu, skrip filem ini ditulis oleh Yuichi Tokunaga.

barisan pelakon dan pengarah filem
Dari kiri, Hideki Takeuchi (pengarah filem), Mei Nagano (Sel Darah Merah) dan Sato (Sel Darah Putih). Kredit: Comic Natalie

Filem ini pada asalnya merupakan komik berbahasa Jepun (manga) yang mengisahkan tentang aktiviti seharian sel-sel di dalam badan manusia. Dengan Sel Darah Merah sebagai watak utama, Akane Shimizu memperkenalkan pelbagai lagi sel yang wujud berserta fungsi-fungsi mereka.

Tidak dinafikan, penghasilan manga ini berjaya membawa fakta biologi badan manusia dalam cara yang lebih menarik dan mudah diingati. Terutamanya setelah dijadikan anime.

buku teks cells at work
Buku teks perubatan kanak-kanak keluaran Kodansha. Kredit Otaku USA Magazine.

Manga ini mula diterbitkan pada Mac 2015 dalam Majalah Shonen Bulanan keluaran syarikat Kodansha dan telah pun tamat pada Januari 2021.

Dalam masa yang sama, manga ini diadaptasi menjadi siri anime oleh syarikat Aniplex, David Production dan Kodansha. Siri ini juga pernah disiarkan dalam Netflix Malaysia selama dua musim.

BACA: Pintas One Piece, Jujutsu Kaisen Diiktiraf Anime Paling Popular Di Dunia

Perkongsian Pelakon Utama Filem Live Action Cells At Work!

sidang media bersama pelakon
Sidang media bersama pengarah dan pelakon utama filem Cells At Work. Kredit: Saibou Movie.

Dalam sidang media tersebut, Nagano menceritakan saat dia menerima berita mengenai tawaran berlakon sebagai sel darah merah daripada pengurusnya. Pada mulanya, pelakon tersebut tidak dapat memahami apa yang cuba disampaikan. Walaupun begitu, dia tetap gembira.

“Saya ingatkan itulah kali pertama dan terakhir saya lakonkan watak sel darah merah, jadi saya gembira dan teruja nak lakonkannya,” katanya.

Bagi Sato pula, beliau jatuh cinta terhadap perspektif dunia lakonannya setelah membaca manga asal.

Nagano turut berkongsi satu kisah ketika mereka sedang membuat rakaman filem ini setahun yang lalu.

“Ada satu babak yang saya kena lakonkan dengan penuh emosi pada hari pertama, tetapi bila saya pandang ke tepi, ada satu manusia ini seluruh badan berwarna putih. Babak itu adegan yang serius, tetapi saya tidak dapat menahan ketawa,” ujar Nagano.

perkongsian dari para pelakon
Perkongsian para pelakon tentang pengalaman di set penggambaran. Kredit: Saibou Movie.

“Ia satu penghormatan, betul kan? Diakui (warna itu) memang betul-betul putih, tetapi yang mengejutkan, sel darah merah pun nampak menarik. Rambut dia agak kusut, lama-lama nampak semakin menarik pula dengan topi itu,” balas Sato dengan senyuman.

Sato turut mendedahkan kesukaran mereka berdua melakonkan babak yang serius dengan penampilan masing-masing yang unik.

Sehingga kini, berita tersebut mendapat sambutan hangat apabila ciapan trailer rasmi filem live action Cells At Work! ini menerima 23 ribu ulang ciap dan 100 ribu sukaan di X (@saibou_movie).

 

Sumber: Comic Natalie, Anime News Network, Anime Corner

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.