Nasib Ibu Bapa Zayn Rayyan Bakal Terjawab Esok
Bebas atau didakwa, nasib ibu bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin, yang direman untuk membantu siasatan kes bunuh kanak-kanak autisme itu bakal terjawab di Mahkamah Majistret, 13 Jun (esok).
Peguam, Fahmi Abd Moin yang mewakili pasangan suami isteri tersebut menyatakan bahawa tempoh reman tidak boleh disambung lagi susulan mahkamah hanya membenarkan reman selama 13 hari bermula 1 Jun lalu.
“Khamis merupakan hari terakhir mereka direman, jadi esok adalah keputusannya, saya percaya kertas siasatan sudah dihantar ke pihak AGC (Jabatan Peguam Negara).
“Mereka akan akses, meneliti dan lihat, semua keputusannya diketahui esok sama ada bebas dengan jaminan polis atau dituduh,” katanya.
Justeru itu, peguam ini menasihati semua pihak agar bersabar dan nantikan perkembangan terbaharu bagi kes ini yang akan dikongsi kelak.
Beliau menekankan bahawa mereka sama seperti rakyat Malaysia lainnya yang menginginkan keadilan bagi Zayn Rayyan.
BACA: Ibu Zayn Rayyan Dibawa Ke Kediaman, Dipercayai ‘Lakon Semula’ Anak Hilang
Dalam pada itu, beliau turut menafikan dakwaan sengaja lewat daripada waktu ketibaan ibu Zayn Rayyan di Mahkamah Majistret pada Rabu.
Menurut beliau, berita mengenai kehadiran wanita berusia 29 tahun itu hanya diperoleh selepas dihubungi oleh pihak media pada jam 9.30 pagi.
Kata beliau, setelah perbincangan dengan barisan pembelaan lain, mereka telah bersetuju untuk bergegas ke mahkamah untuk mengikuti sebarang prosiding yang dijalankan.
Sementara itu, seorang lagi peguam yang mewakili ibu kepada Zayn Rayyan, Mahmud Jumaat memaklumkan perkara sama berhubung perkembangan yang mungkin berlaku dalam masa kurang 24 jam akan datang.
“Saya mohon orang ramai memberi kerjasama, kita hormati proses siasatan dan esok kita boleh mendengar serta melihat sama ada pertuduhan dibuat atau sebaliknya.
“Jadi saya tekankan, orang ramai tidak boleh menyebar berita tidak benar mengenai pasangan suami isteri itu, sebab terlalu banyak versi yang ketara bercanggah dengan laporan yang diberi kepada pihak polis,” katanya.
Beliau juga mengesahkan bahawa hanya ibu Zayn Rayyan yang dibawa ke mahkamah untuk memberikan keterangan.
BACA: Kehadiran Ibu Zayn Rayyan Di Lokasi Mayat Ditemukan, Sebahagian Proses Siasatan
Sumber: Sinar Harian