Siakap Keli
Erik Ten Hag Kekal United
Gambar: AFP

Warnai “Trio Botak” EPL, Erik Ten Hag Kekal Di United

Warnai “Trio Botak” EPL, Erik Ten Hag Kekal Di United

Manchester United terus menaruh kepercayaan di bahu Erik ten Hag sebagai jurulatih Manchester United pada musim depan, lapor ESPN.

Menerusi perbincangan The Red Devils bersama pemilik baharu INEOS Jim Ratcliffe dan Sir Dave Brailsford, mereka mengambil keputusan untuk mengekalkan Ten Hag.

Ia susulan kelab itu berjaya membawa pulang satu trofi Piala FA selepas menewaskan Manchester City dalam derbi Manchester itu.

Difahamkan, Ten Hag dan United telah bersedia untuk membincangkan lanjutan kontraknya yang bakal tamat pada 2025 selepas perbincangan mengenai prestasinya.

Pada musim pertama di Old Trafford, Ten Hag, 54, berjaya memimpin The Red Devils sehingga mendaki tempat ketiga dalam Liga Perdana dan memenangi Piala Carabao.

Walau bagaimanapun, musim keduanya di kelab kembali suram apabila United hanya berakhir di tempat kelapan liga, namun diserikan dengan kehadiran Piala FA.

Gambar: AFP

BACA: Snapdragon Sah Jadi Penaja Logo Utama Jersi Manchester United Musim Depan

Rekod itu merupakan kedudukan paling rendah pernah dicatatkan oleh pasukan yang dilabelkan ‘Big Club’ itu, malah United menduduki tempat tercorot dalam kumpulan Liga Juara-Juara.

Sebelum ini, spekulasi masa depan jurulatih kelahiran Belanda itu di Old Trafford bertiup kencang selepas United mengharungi musim yang buruk dalam liga.

Thomas Tuchel, Mauricio Pochettino, Roberto De Zerbi, Thomas Frank, Kieran McKenna dan Graham Potter termasuk Gareth Southgate antara nama yang disebut-sebut untuk menggantikan Ten Hag.

The Red Devils dijangka memulakan jadual musim panas mereka dengan perlawanan menentang Rosenborg di Norway pada 15 Julai ini.

Manchester United Bakal Beraksi Dalam Liga Europa

Terdahulu, Manchester United dilaporkan bakal beraksi dalam Liga Europa pada musim depan setelah diberikan kebenaran oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), walaupun terdapat larangan mengenai pemilikan dua kelab oleh badan induk tersebut.

Manchester United dan Nice, yang kedua-duanya dimiliki oleh syarikat Jim Ratcliffe, INEOS, telah layak ke pertandingan tersebut pada musim depan.

Menurut laporan Mail Sport pada Mac lalu, versi terkini undang-undang integriti UEFA menyatakan bahawa jika dua kelab yang dimiliki bersama layak ke pertandingan yang sama, hanya satu kelab sahaja yang dibenarkan bertanding.

Kebiasaannya, keutamaan diberikan kepada pasukan yang berakhir di kedudukan lebih tinggi dalam liga masing-masing. Dalam kes ini, Nice berada di tangga kelima manakala Manchester United di tangga kelapan.

Namun begitu, Manchester United memenangi Piala FA Inggeris, yang secara automatik melayakkan mereka ke Liga Europa musim depan.

Sumber: ESPN

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"