Siakap Keli
Serangan Balai Polis Ulu Tiram
Kredit: Bernama

Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Dua Anggota Polis Terkorban Dinaikkan Pangkat 

Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Dua Anggota Polis Terkorban Dinaikkan Pangkat 

Dua anggota polis yang terkorban dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada bulan lalu telah dinaikkan pangkat secara posthumous, hari ini.

Menurut laporan Sinar Harian, Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, dianugerahkan pangkat Koperal secara anumerta dalam satu majlis di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasutiion Ismail menyempurnakan majlis kenaikan dan diterima oleh ibu bapa kedua-dua anggota polis berkenaan.

Ujar Saifuddin, dua anggota terbabit turut menerima pampasan masing-masing RM216,632 dan RM213,586 meliputi bantuan mengurus jenazah, syer kerajaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan sebagainya.

Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia turut menghadiri majlis

“Bukan nilai ratusan ringgit yang diutamakan tetapi ia bertujuan meringankan beban keluarga.

“Ini kerana kita tidak boleh gantikan kesedihan kehilangan ahli keluarga dengan wang ringgit.

“Namun aspek kebajikan ahli keluarga PDRM akan sentiasa kita jaga dan ia memperlihatkan hubungan polis dengan ahli keluarga mangsa tidak akan terputus,” katanya seperti yang dilaporkan dalam Sinar Harian.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan dan Posthumous di Pulapol di sini.

Menurut laporan Sinar Harian, Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Azmi Abu Kassim turut hadir bagi menyempurnakan majlis.

Tambah Saifuddin lagi, tiga anggota Balai Polis Ulu Tiram yang terlibat dalam kejadian itu adalah Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, Konstabel Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa dan Lans Koperal Muhammad Aznel Salleh, 30, turut menerima kenaikan pangkat secara medan.

Modul latihan yang diterima pelatih berkesan 

Ujarnya, tindakan berani anggota dalam insiden berkenaan telah membuktikan modul latihan yang diterima pelatih sebelum menjadi anggota dan pegawai polis adalah berkesan ketika menghadapi situasi kritikal.

Katanya lagi, peristiwa terbabit memberi isyarat bahawa modul latihan PDRM mampu melahirkan anggota polis yang mampu menguruskan situasi kritikal, sekaligus memiliki kematangan luar biasa.

“Modul latihan yang diberikan tidak ubah seperti operasi, cuti raya tidak boleh balik kampung bagi membiasakan mereka ini, hasilnya anggota yang lulus menjadi anggota kompeten,” tambahnya.

Saifuddin turut berkata modul latihan yang diberikan sentiasa berubah mengikut kesesuaian dengan perkembangan dan keperluan keselamatan semasa.

Dua maut, seorang lagi tercedera dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram

Terdahulu, negara digemparkan dengan peristiwa  dua anggota polis iaitu Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang.

Sementara itu, seorang lagi anggota polis yang sedang bertugas iaitu Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, cedera ditembak, pada 17 Mei lalu.

Susulan kejadian itu, polis menahan lima ahli keluarga suspek berumur 19 hingga 62 tahun mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

BACA: Ustaz Don Direhatkan Terus Daripada Program Salam Baitullah

Sumber: Sinar Harian

Athirah

When nothing goes right, go left.