Siakap Keli
Anak bunuh ibu guna gunting
Sumber: Sinar Harian

Anak Ada Masalah Mental Dipercayai Bunuh Ibu Kandung Guna Gunting

Anak Ada Masalah Mental Dipercayai Bunuh Ibu Kandung Guna Gunting

Seorang wanita warga emas ditemui mati, dipercayai dibunuh oleh anak bongsunya dengan menggunakan gunting di sebuah pangsapuri di Relau, George Town.

Difahamkan, suspek yang mempunyai masalah mental telah menghubungi abangnya sendiri untuk memberitahu tentang kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, kejadian berlaku pada pukul 5 petang pada Sabtu.

Menurut Razlam, polis yang menerima panggilan daripada abang suspek segera bergegas ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

“Polis berjaya menahan suspek berusia 40 tahun di lokasi kejadian. Siasatan awal mendapati, anak sulung dan anak kedua menghubungi ibu mereka namun panggilan tidak dijawab.

“Bagaimanapun, mereka dikejutkan dengan panggilan telefon mengatakan ibu mereka telah meninggal dunia kerana ditikam oleh suspek,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, suspek sebelumnya pernah mengugut untuk membunuh semua ahli keluarganya ketika mereka tinggal di Batu Maung.

“Difahamkan, mangsa hanya akan datang ke rumah peninggalan suaminya itu tiga hari seminggu bermula Jumaat, manakala hari lain mangsa tinggal bersama anak sulungnya di Batu Maung.

“Suspek pernah dimasukkan ke wad rawatan psikiatri di Jalan Perak di sini tahun lalu,” katanya lagi.

Tambah beliau, motif pembunuhan masih dalam siasatan dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.

Dalam pada itu, kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

BACA: Lelaki Cederakan Teman Wanita, Rosakkan Harta, Didenda RM4,000

BACA: Remaja Lelaki OKU Mangsa Buruh Paksa Berjaya Diselamatkan

BACA: Bayi Lima Bulan Patah Tangan Kiri Di Rumah Pengasuh

Sumber: Sinar Harian

Sharifah Hannah Adibah