Siakap Keli
Euro 2024 Switzerland
Sumber: Sinar Harian

Euro 2024: Menang 3-1 Ke Atas Hungary, Switzerland Ekori Rapat Jerman

Euro 2024: Menang 3-1 Ke Atas Hungary, Switzerland Ekori Rapat Jerman

Switzerland memulakan kempen Kumpulan A Euro Jerman 2024 dengan langkah kanan setelah menewaskan Hungary, 3-1, di Rhein Energie Stadion pada Sabtu.

Kemenangan ini adalah kemenangan keempat bagi pasukan bimbingan Murat Yakin dalam 19 penampilan di pusingan akhir Euro (lapan seri, tujuh tewas).

Ini juga merupakan kali kedua Rossocrociati meraih tiga mata dalam perlawanan pembukaan kejohanan Euro, selepas kemenangan 1-0 ke atas Albania pada tahun 2016.

Gol-gol Switzerland dalam perlawanan ini dijaringkan oleh Kwadwo Duah pada minit ke-12, Michel Aebischer (m-45), sebelum pemain gentian Breel Embolo (m-93) menoktahkan pesta gol.

Sementara itu, gol tunggal Hungary dijaringkan oleh Barnabas Varga (m-66), ketika pasukan kendalian Marco Rossi gagal bangkit daripada persembahan lesu separuh masa pertama.

“Saya menyamakan bola sepak dengan catur, dan hari ini kami mendapat taktik kami dengan betul. Kami menggunakan formasi ini atas sebab tertentu.

“Kami memberi tumpuan menggunakan kekuatan pasukan sepenuhnya dan kami membuat pasukan lawan sangat sukar pada separuh masa pertama,” kata Yakin.

Mengenai Duah, Yakin berkata: “(Duah) adalah pemain dalam kotak penalti dan kami pernah menghadapi situasi itu dengan Breel (Embolo), tetapi kami tahu kami boleh bergantung kepadanya.

“Kami membuat keputusan yang tepat untuk membawa (Embolo). Kami tahu dia tidak tersedia untuk dua minggu latihan terakhir tetapi keputusan untuk memanggilnya adalah tepat.

“Malah dia membuatkan kami sangat tenang dalam penguasaan bola.”

Kemenangan Switzerland ini membolehkan anak buah Yakin mengekori rapat Jerman yang mendahului kumpulan setelah menang besar 5-1 ke atas Scotland awal pagi tadi.

Switzerland akan berhadapan dengan Scotland dalam perlawanan kedua di RheinEnergieStadion, manakala Hungary akan bertemu Jerman di MHPArena pada 20 Jun.

BACA: Euro 2024: Analisis Opta Ramal England Miliki Kebarangkalian Paling Tinggi Jadi Juara

BACA: Power Ranking: Ini Empat Pasukan Terkuat Di Euro 2024

Sumber: Sinar Harian

Sharifah Hannah Adibah