Siakap Keli
pasukan terkuat euro
Gambar: AFP

Power Ranking: Ini Empat Pasukan Terkuat Di Euro 2024

Power Ranking: Ini Empat Pasukan Terkuat Di Euro 2024

Euro 2024 membuka tirai saingannya pagi tadi dengan perlawanan pertama mempertemukan tuan rumah, Jerman menentang Scotland.

Anak buah Julian Nagelsmann tidak berdepan masalah untuk mencatatkan kemenangan bergaya 5-1 ke atas lawan yang hanya beraksi 10 orang untuk separuh perlawanan.

Begitupun, kali ini SK hendak berkongsi berkenaan empat pasukan yang dikelaskan sebagai yang terkuat untuk Euro edisi kali ini.

Empat pasukan terkuat di Euro 2024 mengikut GOAL

GOAL iaitu portal berita sukan terkemuka dunia berkata, Euro 2024 menghimpunkan 24 pasukan terbaik dari benua Eropah.

Daripada keseluruhan 24 pasukan tersebut, GOAL kemudian membuat analisis dan menerbitkan senarai Euro 2024 Power Ranking.

England

Berdasarkan senarai tersebut, GOAL meletakkan England sebagai pasukan keempat terkuat dan berpotensi mencipta sejarah besar di Jerman.

Pasukan pimpinan Gareth Southgate itu diperkuat dengan ramai pemain muda yang sudah menjadi bintang dan pilihan utama di kelab masing-masing.

Antara pemain muda yang membarisi England kali ini adalah Jude Bellingham, Bukayo Saka, Kobbie Mainoo dan Cole Palmer. Selain itu, Three Lions juga ada nama-nama seperti Phil Foden, Trent Alexander Arnold, Declan Rice, Jarod Bowen dan penyerang berbisa, Harry Kane.

Melihat kualiti-kualiti yang ada, peminat England sekurang-kurangnya boleh memasang angan skuad itu akan melangkah sekali lagi ke final dan membawa pulang kejuaraan yang tertangguh sekian lama.

Belgium

Seterusnya, GOAL memilih Belgium untuk mengisi posisi ketiga senarai tersebut.

Menurut portal berita sukan itu, walaupun kempen Belgium di Piala Dunia Qatar 2022 boleh dianggap sebagai satu malapetaka, namun pertukaran jurulatih mengembalikan kualiti yang ada pada pasukan tersebut.

Sejak Domenico Tedesco mengambil alih jawatan daripada Roberto Martinez, Belgium seolah-olah sudah kembali menjadi pasukan yang disegani.

Malah, Belgium juga tidak mencatatkan sebarang kekalahan dalam tujuh perlawanan terakhir sejak 25 Mac lepas.

Portugal

Seterusnya, Portugal muncul sebagai pasukan kedua paling kuat menurut GOAL untuk Euro edisi kali ini.

Selepas melantik bekas pengendali Belgium, Martinez sebagai jurulatih baharu, Portugal berjaya menunjukkan mereka sebagai salah satu pasukan pilihan untuk bergelar juara.

Menurut GOAL, Portugal menang semua 10 perlawanan pusingan kelayakan, menjaringkan 36 gol dan hanya bolos dua kali.

Ini membuktikan bahawa Portugal merupakan salah satu yang memiliki antara jentera serangan terbaik di peringkat Eropah.

Begitupun, ramai sangsi dengan kebolehan Martinez untuk menyempurnakan tanggungjawabnya apabila beraksi dalam kejohanan besar.

Malah, mereka turut membandingkan rekod Martinez ketika mengendalikan ‘Generasi Emas’ Belgium yang tidak menang apa-apa trofi major.

Perancis

Seperti biasa, Perancis kekal sebagai pasukan terkuat dan calon utama untuk memenangi Euro 2024.

Walaupun mereka tewas dua kali kepada seteru utama, Jerman dalam dua perlawanan persahabatan, ramai masih merasakan Perancis adalah pasukan kegemaran untuk bergelar juara.

Skuad tersebut sarat dengan pemain berkualiti di semua bahagian dan rata-rata pemain mereka berada pada tahap prestasi terbaik bersama kelab masing-masing.

BACA: Arab Saudi Pasang Jalan Asfalt Di Sekitar Arafah, Boleh Kurangkan Suhu Panas

Sumber: GOAL

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.