Siakap Keli
Juruaudit dua anak autisme
Sumber: Sinar Harian

Juruaudit Korbankan Kerjaya Demi Dua Anak Autisme

Juruaudit Korbankan Kerjaya Demi Dua Anak Autisme

Memiliki kerjaya pada usia muda adalah impian ramai orang, namun bagi Arni Juliana, 49, dia terpaksa melepaskan jawatan sebagai juruaudit di sebuah syarikat teknologi antarabangsa demi menjaga dua anaknya yang menghidap autisme.

Arni menyatakan bahawa setelah lebih lima tahun memegang jawatan penting dalam syarikat, dia mengakui bahawa dirinya sukar untuk menyesuaikan diri dengan rutin harian sebagai suri rumah hampir setiap hari.

Selain itu, dia juga bimbang tentang kewangan keluarga selepas berhenti bekerja kerana anak-anaknya memerlukan pelbagai rawatan susulan termasuk terapi di hospital.

Sebagai ibu kepada tiga orang anak, Arni memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarganya sehingga mengabaikan diri sendiri, menyebabkan dia mengalami tekanan kerana tiada masa untuk berehat.

“Keputusan untuk berhenti kerja itu dibuat selepas anak bongsu disahkan menghidap ‘severe’ autisme sewaktu berusia 5 tahun manakala anak kedua saya disahkan mengalami autisme pada usia 14 tahun. Saya tiada pilihan selain berkorban berhenti kerja dan jaga anak-anak.

“Saya memang risau sebab dulu ada dua pendapatan iaitu saya dan suami. Kini hanya suami yang bekerja untuk keluarga dan pada waktu itu saya sangat bimbang dengan keadaan kewangan keluarga kerana anak-anak perlu berjumpa doktor untuk dapatkan rawatan.

“Rutin harian saya membosankan sebab hampir setiap hari buat perkara sama iaitu hantar anak ke sekolah, bertemu doktor, hadap kesesakan lalu lintas tanpa saya sedar diri sendiri terabai kerana tiada masa untuk berehat,” katanya pada Jumaat.

Perlukan kesabaran yang tinggi, sokongan daripada keluarga untuk besarkan anak istimewa

Menurut Arni, cabaran membesarkan anak istimewa memerlukan kesabaran, terutama kerana anak bongsunya mempunyai sikap agresif dan masalah pertuturan, manakala anak kedua menghadapi masalah komunikasi.

Keadaan ini menyebabkan dia dan suami perlu mengambil pendekatan berbeza dalam mendidik, namun Arni tidak berputus asa demi menjaga kedua-dua anak syurganya itu.

“Anak sulung saya mengikuti proses pembelajaran sama seperti orang lain. Tetapi anak kedua dan ketiga sedikit berbeza. Kita kena ambil pendekatan mengikut kesesuaian. Walaupun belum sepenuhnya berjaya tetapi Alhamdulillah ada perubahan.

“Kadangkala saya berasa serba salah kerana sebelum ini tumpuan diberikan penuh kepada pekerjaan sehingga mengabaikan anak-anak dan keadaan mereka semakin teruk,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Arni berkata, pembacaan dan sokongan daripada suami serta keluarga menguatkan semangatnya untuk menempuh cabaran tersebut.

Kini, kehidupan mereka semakin tenang dan mereka sekeluarga boleh melakukan pelbagai aktiviti bersama sambil melihat perkembangan anak-anak yang semakin aktif.

Hasil daripada usaha tersebut, anak keduanya, Hannah, berjaya mendapatkan pekerjaan dan kemahiran komunikasinya juga semakin baik berbanding dahulu.

“Proses ini saya akui bukan mudah tetapi dengan sokongan suami dan keluarga termasuk mertua bukan sahaja membantu tetapi menguatkan kami untuk sama-sama bersabar tempuhi ujian ini.

“Selain itu pendidikan kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak syurga ini sangat penting bukan menonton atau baca di platform media sosial sahaja, tetapi dapatkan pandangan daripada pakar atau profesional,” katanya.

BACA: Bawa Anak Pergi Kedai Emas, Ibu Bapa Hadiahkan Cikgu Gelang Emas Sempena Hari Guru

BACA: Nahas Bas Rompin: Hasnatul Adilah Sempat Tanya Keadaan Anaknya

BACA: ‘Kisah Wira Kami’ Versi Hari Bapa

Sumber: Sinar Harian

Sharifah Hannah Adibah