Enam Lagi Jemaah Haji Malaysia Disahkan Meninggal Dunia Di Tanah Suci
Enam lagi jemaah haji Malaysia musim ini disahkan meninggal dunia, menjadikan jumlah keseluruhan kematian jemaah haji Malaysia di Tanah Suci setakat 19 Jun 2024 kepada 14 orang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, memaklumkan bahawa kesemua mereka sempat berwukuf pada 9 Zulhijjah (15 Jun 2024).
Enam jemaah tersebut ialah Bawi Solek, 79, dari Sarawak; Raksan@Hassan Matasil, 74, dari Kota Kinabalu, Sabah; Madon Mohamed, 71, dari Masai, Johor; Roba’ayah Yusoff, 71, dari Beruas, Perak; Syed Abu Hasan Basri Syed Ahmad, 74, dari Sauk, Perak; dan Nik Noor Azlinna Noor Basir, 54, dari Kota Baharu, Kelantan.
“Kebanyakan mereka ini meninggal dunia kerana terkena serangan jantung dan mendapat jangkitan kuman pada darah,” katanya pada sidang media terakhir beliau di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH), di Abraj Janadriyah, Mekah.
Mohd Na’im berada di Mekah sejak 8 Jun untuk lawatan kerja dan menghadiri Simposium Haji Perdana serta menunaikan haji musim ini.
Beliau memaklumkan, kesemua jemaah yang meninggal dunia dikebumikan di Tanah Perkuburan Shuhada Al-Haram atau Tanah Perkuburan Sharayaa, Mekah, dan waris kepada semua Allahyarham di Malaysia telah dimaklumkan mengenai kematian tersebut.
BACA: Kuota Haji Malaysia 2024 Sebanyak 31,600 Orang Jemaah
Dalam pada itu, beliau juga menyatakan bahawa dua daripada 94 jemaah yang menerima rawatan di Tanah Suci tidak dapat menunaikan haji musim ini kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.
“Mereka juga tidak dimasukkan dalam program Safari Wukuf atas nasihat doktor,” tambahnya.
Safari Wukuf adalah program oleh Lembaga Tabung Haji (TH) yang membawa pesakit terlantar dengan bas yang diubah suai menjadi ambulans untuk berwukuf di Arafah selama dua jam dan mendengar khutbah Arafah sebelum kembali untuk rawatan lanjut.
Mohd Na’im berkata, daripada 94 jemaah yang dirawat, 79 berada di Pusat Rawatan TH, 12 di Hospital Arab Saudi, dan selebihnya di Klinik Kecemasan Abraj Janadriyah.
“Kebanyakan mereka ini dirawat kerana ada masalah berkaitan pernafasan seperti jangkitan kuman pada paru-paru disebabkan cuaca panas dan kering,” ujar beliau.
Bagi operasi haji, Mohd Na’im memaklumkan, daripada kuota 31,600, 58 peratus jemaah menyempurnakan Nafar Awwal (melontar jamrah pada dua daripada tiga hari tasyrik), manakala selebihnya Nafar Thani (melontar di ketiga-tiga jamrah pada hari tasyrik) dan pulang ke Mekah dari Mina pada tengah hari Rabu.
“Mereka ini, jika tidak ke Madinah, akan bersiap sedia untuk pulang ke tanah air dengan penerbangan pulang pertama dijadual pada 24 Jun ini.
“Bagi jemaah yang masih ada di sini dan juga yang akan ke Madinah, saya nasihatkan untuk terus menjaga kesihatan diri, jangan terdedah kepada cuaca panas kerana pada 11 Zulhijjah lalu, suhunya mencecah 50 darjah Celcius.
“Dan, suhu sebegini boleh menyebabkan strok haba. Ada laporan bahawa banyak kematian dicatatkan akibat strok haba ini di sini, di Tanah Suci, semasa haji,” kata Mohd Na’im lagi.
Suhu pada hari wukuf 9 Zulhijjah adalah 48 darjah Celsius, puncak musim panas di Arab Saudi.
Senarai 14 jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia dan punca kematian
Berikut adalah senarai 14 jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di Tanah Suci musim haji 1445H/2024M dan punca kematian mereka:
- Abnil Hajar Ismail, 72 tahun (pembuluh darah pecah)
- Mohd Zahir Ismail, 58 tahun (serangan jantung)
- Ghazali Ahmad, 71 tahun (kegagalan buah pinggang)
- Noormadiah Mat Ali, 53 tahun (pembuluh darah tersumbat)
- Zuraida Mohd Haris, 37 tahun (pendarahan otak selepas koma enam hari)
- Baharuddin Mohd Shood, 75 tahun (kanser usus, merebak ke hempedu)
- Abdul Manaf Hanapiah, 65 tahun (serangan jantung)
- Sapiah Jalil, 66 tahun (serangan jantung)
- Bawi Solek, 79 tahun (serangan jantung)
- Raksan@Hassan Matasil, 74 tahun (serangan jantung)
- Madon Mohamed, 71 tahun (paru-paru berair kerana masalah kegagalan jantung)
- Roba’ayah Yusoff, 71 tahun (serangan jantung)
- Syed Abu Hasan Basri Syed Ahmad, 74 tahun (serangan jantung)
- Nik Noor Azlinna Noor Basir, 54 tahun (jangkitan kuman pada darah)
BACA: Jemaah Haji Malaysia Meninggal Dunia Ketika Tawaf
BACA: Seorang Lagi Jemaah Haji Malaysia Meninggal Dunia Di Tanah Suci
Sumber: Astro Awani