Berang Ditinggal Beraya Seorang Diri, Lelaki Tergamak Langgar Kereta Dipandu Isteri
Gara-gara tidak berpuas hati ditinggalkan sendirian ketika sambutan Aidiladha, seorang lelaki tergamak melanggar kenderaan yang dipandu isteri sendiri.
Menurut portal Tribun News, kejadian berkenaan dilapor berlaku di Bogor, Indonesia dan menjadi tular di media sosial.
Difahamkan, kejadian itu bermula selepas isteri suspek mengambil keputusan untuk membawa anak-anak pulang ke rumah keluarganya di Sukabumi untuk beraya di sana pada 18 Jun lepas.
Manakala suspek pula ditinggal seorang diri di Bogor pada hari tersebut. Difahamkan, keputusan si isteri untuk beraya di kampung keluarganya sudah pun dimaklumkan kepada suspek seminggu lebih awal.
Bagaimanapun, suspek yang berasa sunyi kerana ditinggalkan sendirian bertindak menghubungi si isteri dan memaksa untuk segera pulang ke rumah mereka pada malam hari yang sama.
Berang ditinggal sendirian semasa raya, lelaki langgar kereta dipandu isteri
Pada mulanya, si isteri enggan memenuhi permintaan tersebut dan berkeras mahu beraya di rumah keluarganya.
Namun kerana ketakutan dengan ancaman diterima, mangsa kemudian terpaksa akur dengan desakan suspek untuk pulang ke rumah mereka.
Tetapi ketika itu suspek rupa-rupanya sudah tiba dan menunggu di sekitar rumah keluarga isterinya sejak dari awal lagi.
Semasa mangsa keluar meninggalkan rumah keluarganya, suspek bertindak mengekori dan mengejar kereta yang dipandu mangsa. Ketika itu, kereta berkenaan turut dinaiki oleh anak-anak kepada pasangan suami isteri tersebut.
Bimbang dengan keselamatan diri, mangsa seterusnya memandu menuju ke Polsek Cibeureum untuk mendapatkan bantuan pihak berkuasa.
Namun begitu, suspek telah bertindak melanggar kereta yang dipandu mangsa ketika mahu membelok ke Polsek tersebut.
Impak pelanggaran tersebut turut menyebabkan kereta berkenaan merempuh sebuah warung yang terletak di tepi jalan di lokasi kejadian.
Lelaki tersebut berada di bawah pengaruh alkohol
Menurut Ketua Polis Cibeureum, AKP Suwaji, kejadian itu mengakibatkan tiga buah kereta rosak dan cermin sebuah kedai tempatan pecah.
Siasatan polis mendapati pelaku berada di bawah pengaruh alkohol sehingga bertindak di luar kawalan.
“Suspek bertindak sedemikian juga kerana mengesyaki si isteri berlaku curang terhadapnya,” ujar Suwaji lagi.
Ujar Suwaiji lagi, suspek sudah ditahan dan kes berkenaan kini dalam siasatan pihaknya.
BACA: Budaya Sarapan Malaysia: Nasi Lemak, Roti Canai, Teh Tarik Dihidang Di Pejabat PBB
Sumber: Tribun News