Siakap Keli
JAIS tangguh ceramah agama Ustaz Don
Sumber: JAIS

JAIS Sudah Arah Tangguh Semua Program Ceramah Agama Ustaz Don Di Negeri Selangor

JAIS Sudah Arah Tangguh Semua Program Ceramah Agama Ustaz Don Di Negeri Selangor

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sudah mengeluarkan arahan kepada semua agensi, masjid, surau dan musolla untuk menangguhkan atau tidak mengundang Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dalam pengajaran agama Islam atau apa-apa perkara tentang agama Islam di premis masing-masing.

Menurut JAIS dalam satu kenyataan media hari ini, arahan berkenaan dikeluarkan oleh pihaknya pada 21 Jun lalu.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa ketetapan ini dibuat berikutan beberapa isu mengenai pengajaran atau ceramah agama Islam yang disampaikan oleh Ustaz Don Daniyal disyaki membawa kepada perlanggaran beberapa ketetapan di dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor amat berkenan dan menekankan kepada para pemegang tauliah agar umat Islam di Negeri Selangor dapat diberikan kefahaman Islam yang tepat berdasarkan sumber sahih mengikut disiplin ilmu Islam.

“Sehubungan dengan itu, JAIS perlu menghentikan perkara seumpama ini dengan segera supaya tidak berleluasa di Negeri Selangor berkaitan apa jua bentuk pandangan-pandangan dan pernyataan tentang hukum-hakam agama Islam yang tidak berasaskan nas dan dalil yang sahih serta di luar pengetahuan umum majoriti umat Islam,” jelas kenyataan itu lagi.

BACA: RTM Rehatkan Ustaz Don Daripada Program Salam Baitullah

Tambah JAIS, Mesyuarat Jawatankuasa Tauliah MAIS telah memutuskan bahawa Ustaz Don Daniyal perlu mengemukakan kenyataan bertulisnya kepada jawatankuasa terhadap beberapa fakta tentang ceramah agama yang dibuat olehnya selaras dengan Peraturan 17 (b), (d) dan (f) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 agar penggantungan atau penarikan semula tauliah oleh jawatankuasa tidak dilaksanakan terhadap beliau.

“Berdasarkan beberapa aduan yang diterima oleh pihak Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS, satu kertas siasatan juga dibuka terhadap Ustaz Don Daniyal di bawah Seksyen 7, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” katanya.

Dalam pada itu, JAIS berharap agar semua pihak di Negeri Selangor dapat bekerjasama dan akur serta dapat mematuhi arahan untuk tidak mengundang atau membatalkan sesi ceramah atau apa-apa jua bentuk pengajaran agama Islam yang akan dilaksanakan melibatkan Ustaz Don Daniyal.

Ia sehinggalah Jawatankuasa Tauliah MAIS membuat Keputusan muktamad tentang kedudukan beliau sebagai pemegang tauliah mengajar MAIS.

Sumber: JAIS

BACA: Ustaz Don Direhatkan Terus Daripada Program Salam Baitullah

Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor

Sharifah Hannah Adibah