Siakap Keli
MFL Beri Penjelasan
Kredit: Bernama

MFL Kurangkan Denda Selangor FC & Batalkan Dua Hukuman Lain

MFL Kurangkan Denda Selangor FC & Batalkan Dua Hukuman Lain

Malaysian Football League (MFL) dalam satu kenyataan sebentar tadi memaklumkan pihaknya telah menggunakan budi bicara untuk mempertimbang semula hukuman yang dikenakan kepada Selangor FC.

Menurut MFL, pertimbangan semula itu juga dibuat sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Berdasarkan pertimbangan semula tersebut, denda RM100,000 yang diumumkan sebelum ini akan dikurangkan kepada RM60,000.

Selain itu, hukuman pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 turut dibatalkan.

“Walaubagaimanapun, jika Selangor FC mengulangi kesalahan yang sama, maka kes ini akan dibawa ke jawatankuasa tatatertib dan hukuman yang lebih tegas dan keras boleh dikenakan,” kata MFL.

Manakala larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super (LS14) melibatkan kelab itu menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya juga dibatalkan.

MFL kurangkan denda yang dikenakan kepada Selangor FC dan batalkan dua hukuman lain

MFL bagaimanapun mengekalkan hukuman yang mengarahkan Selangor FC untuk membayar pampasan kerugian yang ditanggung JDT selaku tuan Perlawanan Sumbangsih dan juga kepada MFL.

“Tempoh untuk membuat rayuan adalah selama tiga hari daripada tarikh surat ini (27 Jun 2024) seperti yang termaktub dalam Aturan 4, Kaedah 3, Kaedah-kaedah Badan Penguatkuasa Peraturan, Manual Liga Malaysia,” kata MFL lagi.

Terdahulu pada 25 Jun, MFL telah mengumumkan empat hukuman yang dikenakan ke atas Selangor FC di atas ketidakhadiran pasukan itu ke Perlawanan Sumbangsih dan LS1 menentang JDT di SSI pada 10 Mei lepas.

Bagaimanapun, hukuman yang diumumkan oleh MFL itu telah menarik perhatian banyak pihak termasuk mengundang murka daripada Sultan Selangor.

BACA: Pesawat Ringan Jenis PA-28-161 Mendarat Cemas Dekat Pelabuhan Klang

“Beta berasa amat kecewa dan sangat dukacita dengan keputusan ahli-ahli Malaysian Football League (MFL) serta ahli-ahli Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) khususnya Presiden FAM, Dato’ Hamidin Mohd Amin.

“Beta terkejut dan kecewa kerana Dato’ Hamidin langsung tidak serius bersuara padahal beliau sebelum ini merupakan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013 dan berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor serta menerima darjah kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) daripada Beta.

“Beta amat murka dengan keputusan terbaharu MFL ini yang Beta anggap tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan, dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku,” titah baginda.

Tambah baginda, hukuman yang dijatuhkan iaitu denda sebanyak RM100,000, bayaran pampasan kerugian ditanggung tuan rumah dan MFL, pemotongan tiga mata serta hukuman menjalankan perlawanan (LS14) tanpa penonton adalah tidak masuk akal dan amat berlebihan memandangkan kemenangan telah pun diberikan kepada pasukan lawan.

BACA: Sultan Selangor Murka Keputusan MFL, Dianggap Tidak Berperikemanusiaan

Sumber: MFL

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.