Bergaya & Cantik, Baju Sukarelawan Olimpik Paris Dapat Pujian Ramai
Temasya Sukan Olimpik merupakan salah satu temasya sukan teragung dan paling berprestij di dunia.
Berlangsung empat tahun sekali, Sukan Olimpik 2024 akan dianjurkan di Paris, Perancis selaku tuan rumah bermula 26 Julai sehingga 11 Ogos ini.
Manakala Sukan Paralimpik pula akan berlangsung selepas itu, dari 28 Ogos hingga 8 September.
Atlet-atlet yang layak untuk bertanding di temasya tersebut akan memulakan persiapan rapi masing-masing untuk memastikan prestasi mereka berada pada tahap terbaik.
Dalam pada itu, sudah menjadi tradisi Majlis Olimpik di setiap negara akan memperkenalkan pakaian rasmi kejohanan yang akan disarung oleh atlet masing-masing di Paris kelak.
Jika diperhatikan, acara pengenalan yang dibuat terlihat seperti pertunjukan fesyen dengan rekabentuk dan warna yang mendapat pujian orang ramai.
Misalnya pakaian-pakaian rasmi yang didedahkan oleh Amerika Syarikat, Perancis dan Jepun yang menampilkan keunikan budaya masing-masing.
Kenali baju sukarelawan Olimpik Paris, minimalis tetapi bergaya
Sementara itu, pakaian seragam bagi sukarelawan Olimpik Paris 2024 juga telah diperlihatkan secara rasmi dan bakal dipakai oleh 45,000 sukarelawan semasa Sukan Olimpik dan Paralimpik.
Menurut portal Olympics.com, projek menghasilkan pakaian seragam tersebut sudah pun bermula sejak empat tahun lalu. Projek berkenaan juga menjadi penanda kepada permulaan perjalanan yang unik bagi para sukarelawan.
Difahamkan, Jawatankuasa Penganjuran Olimpik Paris 2024 telah bekerjasama dengan peruncit barangan sukan terkenal, Decathlon untuk mencipta pakaian seragam berkenaan.
Manakala reka bentuknya pula perlu menerapkan elemen yang melambangkan Perancis dan menggabungkan fungsi dengan keselesaan.
Reka bentuk pakaian perlu bersesuaian dengan alam sekitar
Selepas hampir 18 bulan menyiapkan projek ini, kemeja-T berjalur pelayar Tentera Laut Perancis yang ikonik telah dipilih bagi mewakili identiti Olimpik Paris 2024.
Rekaan tersebut dianggap bijak dan praktikal, mesra alam sekitar dan sesuai untuk disarung tanpa mengira jantina.
Selain itu, setiap sukarelawan yang terlibat juga akan dibekalkan dengan jaket dan seluar khas. Uniknya, jaket dan seluar tersebut turut direka untuk boleh diubah menjadi jaket tanpa lengan serta seluar pendek.
Fungsi itu akan memberikan keselesaan kepada sukarelawan ketika bertugas dalam keadaan cuaca yang berbeza-beza.
Menurut portal Olympics.com lagi, setiap perincian diteliti sebaik-baiknya termasuk tampalan yang mengandungi logo Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik pada setiap bahagian lengan.
BACA: Norway Akan Terima Pesakit Dari Gaza – Perdana Menteri
BACA: Imam Meninggal Dunia Ketika Sampaikan Kuliah Maghrib Tentang Kematiaan
Sumber: Olympics.com