Siakap Keli
Indonesia serangan siber
Sumber: Sinar Harian

Serangan Siber Jejas Perkhidmatan Awam, Indonesia Jadi Huru-Hara

Serangan Siber Jejas Perkhidmatan Awam, Indonesia Jadi Huru-Hara

Rakyat Indonesia masih terkesan akibat serangan siber yang berlaku minggu lepas ke atas Pusat Data Nasional (PDN), sehingga menyebabkan gangguan perkhidmatan awam.

Serangan yang menyasarkan PDN di Surabaya, Jawa Timur pada 20 Jun lalu telah menjejaskan beberapa perkhidmatan penting.

Antaranya adalah perkhidmatan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang, Banten, serta pendaftaran pelajar di sekolah negeri di Serang, Banten dan Dumai, Riau.

Sehingga Rabu, lima agensi yang terjejas telah berjaya memulihkan akses pangkalan data mereka dan menyambung semula perkhidmatan.

Agensi-agensi tersebut termasuk pejabat imigresen, Kementerian Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Pentadbiran Perbandaran Kediri di Jawa Timur, Kementerian Hal Ehwal Agama dan Agensi Perolehan Negara (LKPP).

Ketua Pengarah Maklumat dan Komunikasi Awam Kementerian Komunikasi dan Penerangan, Usman Kansong, menyatakan bahawa kerajaan berusaha memulihkan sekurang-kurangnya 18 pangkalan data pentadbiran pusat dan wilayah yang terjejas akibat serangan ini menjelang akhir bulan ini.

Namun, jumlah itu masih kecil berbanding 282 pangkalan data yang terjejas pada Selasa.

Dalam perkembangan yang sama, pemerintah Indonesia enggan membayar wang tebusan sebanyak AS$8 juta (RM37.7 juta) yang dituntut oleh penyerang yang melancarkan serangan perisian hasad atau ransomware ini.

Difahamkan, penggodam menggunakan Brain Cipher, kemas kini perisian hasad LockBit 3.0, yang merupakan varian yang dilaporkan digunakan oleh kumpulan penggodam LockBit dalam serangan yang sama pada tahun 2023 ke atas pemberi pinjaman syariah milik negara, Bank Syariah Indonesia (BSI).

Firma telekomunikasi milik pemerintah, PT Telkom Indonesia, melaporkan bahawa penggodam turut menuntut wang tebusan sebanyak AS$8 juta (RM37.7 juta).

BACA: Pesawat Ringan Jenis PA-28-161 Mendarat Cemas Dekat Pelabuhan Klang

BACA: MY Creative Moments Mohon Maaf ‘Cacat Cela’ Majlis Pelancaran Pakaian Rasmi Kontinjen Malaysia

BACA: Mitos Atau Fakta: Lalat Benci Warna Kuning?

Sumber: Sinar Harian

Sharifah Hannah Adibah