Siakap Keli
Jangan Tersilap Beli
Kredit: Gemini AI

Kalau Tiada Rumah Contoh, Ejen Hartanah Kongsi Ini Cara Nak Tahu Saiz Rumah Dalam Pembinaan

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Kalau Tiada Rumah, Ejen Hartanah Kongsi Ini Cara Nak Tahu Saiz Rumah Dalam Pembinaan

Memiliki rumah idaman sememangnya menjadi impian semua orang lagi-lagi bagi mereka yang memerlukan.

Selain faktor kewangan, banyak aspek lain yang perlu dipertimbangkan untuk memastikan rumah yang dibeli sesuai dengan keperluan dan kehendak kita.

Antara faktor yang boleh mempengaruhi keputusan kita dalam pemilihan rumah termasuklah saiz kediaman itu sendiri.

Biasanya, pemaju akan menyediakan rumah contoh untuk dinilai oleh para pembeli. Namun begitu, ada juga situasi dimana rumah yang masih dalam pembinaan tidak mempunyai rumah contoh yang boleh dijadikan panduan.

Dalam situasi ini, apa yang perlu kita buat? Mujurlah, seorang perunding hartanah, Fahimah Mahayuddin ada jawapannya.

Menurusi satu hantaran di Facebook, beliau berkongsi beberapa tip yang boleh diguna pakai oleh pembeli yang tidak berpeluang melihat rumah contoh semasa memilih rumah idaman mereka.

Jom ikuti perkongsian tersbeut di bawah.

Ada faktor lain yang perlu diambil kira, cara nak tahu dan tentukan saiz sesebuah rumah

Bulan lepas, ada seorang pembeli ni cerita dekat saya yang dia tersilap beli rumah. Bukan rumah bawah ini tau. Masa dia beli tu rumah tu dalam pembinaan, kira tak ada rumah contoh.

Jadi setakat tengok susun atur semua nampak macam besar, luas. Dia tempah saja untuk beli. Tapi selepas rumah tu siap dia terkejut sebab rumah tu kecil saiznya. Parking pun muat satu kereta saja.

Bila saya tanya berapa bukaan lebar rumah? Dia kata 18 kaki. Untuk saiz 18 kaki memang muat 1 kereta saja parking. Melainkan kereta kecil mungkin boleh muat 2. Yang ini ikut pagar yang pemaju bagi. Belum ubah suai tukar pagar semua.

Memang selalu kalau kita tengok model rumah, atau susun atur rumah dan kita tak ada pengalaman untuk bayangkan saiz rumah, kita akan rasa ok.

Jadi saya terpanggil untuk menulis sedikit tentang saiz rumah yang biasa di jual dekat Malaysia ini dan kategori rumah tu besar atau kecil.

Selain dari tengok jumlah bilik tidur dan bilik air, ada faktor lain yang kena ambil kira bagi saiz sesebuah rumah. Saiz tanah (bagi rumah landed) dan saiz binaan (rumah landed / apartment).

Apartment/kondo/flat

400-500 + sqft (Kecil)

Kalau saiz macam ni biasanya studio unit / soho. Biasa ada 1 bilik atau tiada bilik.

600 – 750 + sqft  (Kecil)

Untuk saiz ni dikira saiz yang kecil. Ada yang cukup untuk 2 bilik, ada yang 3 bilik.

900 – 900 sqft (Sederhana)

Saiz ni dikira “standard size” untuk kebanyakan rumah apartment. Saiz yang boleh dikatakan “selesa”. Tak besar sangat. Tak kecil sangat.

900 – 1000 ++ sqft (Besar dan luas)

Untuk saiz ni dikira besar bagi sebuah rumah apartment/ kondo/ flat. Susun atur rumah juga lebih luas. Sesetengah kondo ada yang bersaiz 1500++sqft yang mana kadang lebih luas dari saiz binaan rumah teres.

Teres/Landed ( intermediate). Kalau corner / end lot saiz tanah lebih besar. Saiz rumah teres ni biasanya (ukuran kaki):

  • 16×60
  • 18×60
  • 18×70
  • 20×60
  • 20×65
  • 20×70
  • 20×75
  • 20×80
  • 22×70
  • 22×75
  • 24×70

Saiz lebar rumah

Saiz tanah lebar 16-18 kaki: Kecil

Lebar ini di kira saiz lebar bahagian hadapan rumah. Bagi saiz ini kecil dan untuk parking kereta kalau 16 kaki muat satu kereta sahaja. Untuk 18 kaki muat 1 kereta juga tapi kalau kereta saiz kecil boleh muat 2. Bergantung pada pagar rumah. Kalau takde tembok kiri kanan boleh masuk dua.

Saiz tanah lebar 20 kaki: Sederhana

20 kaki ini dikira saiz standard kebanyakan rumah teres dekat Malaysia ini. Kira saiz yang paling banyak ada dekat pasaran. Muat untuk parking dua kereta dan dalam kategori lebar rumah yang jadi pilihan ramai.

Saiz lebar 22 kaki ke atas: Besar

Saiz yang boleh dikatakan selesa untuk kelebaran sesebuah rumah. Untuk saiz 24 kaki ke atas dikategorikan sebagai “superlink”. Bukan lagi teres biasa sebab saiz yang besar dan luas.

Untuk saiz 24 kaki ke atas kalau parking 2 kereta pun dah terlebih selesa dan siap ada ruang lagi dekat tepi untuk mini garden dan sebagainya.

Saiz panjang rumah

Selain lebar, satu lagi faktor yang kena ambil kira adalah panjang tanah sesebuah rumah.

60 kaki ke bawah – Pendek

Panjang 60 kaki biasanya selepas di tolak ruang untuk car porch dan binaan rumah, biasa bahagian belakang ada sedikit. Car porch pun lebih pendek.

65 – 70 kaki – Sederhana

Standard size bagi kebanyakan rumah yang dibina sekarang. Tak pendek sangat. Tak panjang sangat. Saiz yang paling ramai suka. Carporch pun tak pendek sangat dan biasa bahagian belakang pun ada lebihan tanah.

Untuk rumah teres 2 tingkat

1500sqft – 1750 + sqft – Sederhana

Bagi saiz ini dikira saiz standard untuk keluasan binaaan sebuah rumah. Saiz yang boleh dikatakan “just nice”. Tak besar. Tak terlalu kecil sangat. Tapi biasa saiz dapur ada yang sederhana, ada yang kecil bergantung pada rekaan rumah.

1800sqft – 2000sqft++ – Besar

Untuk saiz ini dikira besar untuk keluasan binaan sesebuah rumah. Saiz ni biasanya kalau tak buat tambahan dapur , bilik dan sebagainya pun dah cukup. Tak perlu sambung dah biasanya.

Nak tulis sikit jadi panjang pula. Tapi ni dikira pendapat peribadi saya yang pernah terlibat dalam bidang pembinaan dulu dan sekarang bekerja sebagai perunding hartanah.

Boleh jadi panduan bagi yang sedang mencari rumah. Apapun saiz pilihla ikut bajet dan citarasa masing-masing. Pilih betul-betul supaya tak salah buat pilihan.

Semoga bermanfaat.

Athirah

When nothing goes right, go left.