Siakap Keli
hantaran hasutan TMJ
Sumber: Sinar Harian

Polis Siasat Kes Hantaran Berbaur Hasutan Terhadap TMJ

Polis Siasat Kes Hantaran Berbaur Hasutan Terhadap TMJ

Pihak polis akan melaksanakan siasatan terhadap pemilik dan pengendali akaun Facebook kelab penyokong sebuah parti politik berhubung hantaran berbaur hasutan terhadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ).

Ketua Polis Johor, Komisioner Polis M Kumar, memaklumkan bahawa siasatan ini dibuat susulan laporan polis yang diterima di Balai Polis Bandar Penawar, Kota Tinggi, sekitar jam 4.05 petang, pada Sabtu.

Menurut beliau, laporan tersebut berkaitan dengan hantaran yang dibuat oleh pengendali dan pemilik akaun Facebook tersebut, yang mengaitkan Tunku Mahkota Ismail dengan tuduhan rasuah terhadap seorang individu dipercayai Mohamad Zamri Zainul Abidin.

Hantaran tersebut menyatakan, “TMJ mengatakan Pengarah AMLA SPRM – Zamri meminta rasuah RM20 juta daripada Qatar Holdings. – 28 Januari 2023” dengan tajuk, “TMJ sudah bersuara takkan PMX masih senyap,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambah beliau, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-undang, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menggunakan platform tersebut dengan menyalahi undang-undang.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa juga keadaan, sama ada membuat hantaran, menularkan, berkongsi maklumat berbaur hasutan, fitnah atau palsu sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan negara,” ujarnya.

Ini adalah tindakan tidak bertanggungjawab, biadab dan kurang ajar, tindakan tegas akan diambil

Dalam pada itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, pada Sabtu mengeluarkan kenyataan yang menyifatkan tuduhan rasuah RM20 juta terhadap Tunku Mahkota Ismail sebagai fitnah jahat dan cubaan menjatuhkan institusi diraja.

Beliau menegaskan bahawa hasutan yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp itu adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab, biadab dan kurang ajar.

Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri telah membuat laporan polis dan menggesa pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat.

BACA: Empat Lelaki Samun Kedai Barangan Kemas Di Sungai Petani

BACA: Pelajar Tingkatan 1 Dipercayai Terjatuh Dari Tingkat Lima Dilapor Meninggal Dunia

BACA: Banjir Kilat Sik: 15 Rumah, Madrasah As Solihin Terjejas

Sumber: Sinar Harian

Sharifah Hannah Adibah