Siakap Keli
tren laju makkah madinah
Sumber: Sinar Harian

Tren Laju Makkah-Madinah Jimatkan Masa Jemaah Haji Kira-Kira Lima Jam

Tren Laju Makkah-Madinah Jimatkan Masa Jemaah Haji Kira-Kira Lima Jam

Para jemaah haji dari negara ini merasa sangat teruja menaiki Sistem Kereta Api Laju Haramain dari Makkah ke Madinah, yang berjaya menjimatkan masa perjalanan mereka kira-kira lima jam.

Perjalanan yang lebih singkat ini turut memudahkan pergerakan para jemaah warga emas yang menggunakan kerusi roda.

Pengarah Operasi Haji di MKM Ticketing Travel & Tours (MKM), Dr. Abdul Hadi Abdul Raman berkata, perjalanan dengan tren laju yang mula beroperasi sejak 2018 ini hanya memakan masa sekitar 2 jam 30 minit.

“Naik tren laju memang banyak perbezaan dengan bas yang memakan waktu kira-kira lapan jam.

“Jadi jemaah tidak perlu duduk terlalu lama dalam perjalanan sejauh lebih kurang 547 kilometer dari Makkah ke Madinah,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sistem Kereta Api Laju Haramain mampu bergerak pada kelajuan 300 kilometer sejam dan menghubungkan jemaah antara kedua-dua bandar melalui pelabuhan Laut Merah dari Jeddah.

Ia boleh memuatkan kapasiti 4,000 penumpang pada satu-satu masa dan mampu mengangkut 60 juta penumpang setahun.

Kemudahan berkenaan juga digambarkan oleh para pegawai tempatan sebagai projek pengangkutan terbesar di rantau itu.

Abdul Hadi juga menyatakan bahawa semua jemaah haji yang diuruskan oleh MKM menyatakan kegembiraan mereka kerana dapat merasai sendiri kemudahan tren laju ini.

“Bagi jemaah warga emas, mereka dah tak perlu tunggu waktu perjalanan yang lama. Bila cepat sampai, cepatlah mereka dapat rehat selain dapat gunakan masa yang dijimatkan untuk beribadat,” ujarnya.

Dalam pada itu, orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini ibadah haji melalui laman sesawang MKM di mkm.my.

BACA: Kerajaan Beri Jaminan Kuota Bumiputera Ke Matrikulasi Kekal – PM Anwar

Sumber: Sinar Harian

Sharifah Hannah Adibah