Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Afdlin Shauki Kongsi Detik Cemas Terperangkap Lima Jam Dalam Rusuhan Di Paris

SHAUKI
Kredit: Facebook Afdlin Shauki

Pelakon dan pelawak terkenal, Datuk Afdlin Shauki Aksan berkongsi pengalaman mencemaskan apabila terperangkap selama kira kira lima jam ketika berlaku rusuhan di Paris, Perancis.

Menerusi hantaran di Facebook, Afdlin berkata beliau ke Perancis bersama isteri dan anaknya bagi menghadiri acara MIPCOM di Cannes sebelum meluangkan masa bersama keluarga di Paris.

Kredit: Facebook Afdlin Shauki

Bagaimanapun, percutian itu bertukar menjadi pengalaman mendebarkan apabila mereka berdepan situasi tegang ketika bersiar siar di sekitar kawasan Louvre.

Menurutnya, mereka terserempak dengan satu demonstrasi yang disertai ramai anak muda. Beliau berkata, tidak semua peserta demonstrasi bertindak membuat kekacauan kerana ada antara mereka yang bersikap sopan dan baik.

Ketika keadaan mula kecoh dan orang ramai bertempiaran, Afdlin bersama keluarganya berada di hadapan butik Goyard.

Katanya, kakitangan butik itu menyedari kehadiran mereka bersama anak perempuan mereka, Inaya, yang baru berusia tiga tahun, sebelum segera membenarkan mereka masuk dan mengunci pintu.

Selepas keadaan reda, Afdlin dan keluarganya keluar untuk mencari jalan pulang. Namun, mereka masih gagal meninggalkan kawasan berkenaan berikutan keadaan yang menyukarkan pergerakan.

“Kira kira lima jam kami terkandas di sekitar Louvre. Kami cuba mencari jalan keluar yang selamat, tetapi keadaan menyukarkan pergerakan.

“Akhirnya, kami berlindung di sebuah restoran yang bersambung dengan hotel berhampiran,” katanya.

Afdlin berkata, beliau masih mengingati pasangan warga emas yang menguruskan restoran berkenaan serta individu lain yang mengambil berat tentang keselamatan anaknya ketika mereka berlindung di situ.

Bagaimanapun, keadaan kembali mencemaskan apabila beliau melihat perusuh bertempiaran di luar restoran sebelum gas pemedih mata memasuki premis berkenaan.

Menurutnya, anak kecilnya mula panik dan mengalami kesukaran bernafas, manakala mata isterinya terkena semburan lada. Beliau sendiri turut mengalami sedikit sesak dada.

“Sebagai seorang ayah, saat melihat anak sendiri ketakutan dan sukar bernafas itu amat berat. Waktu itu, kami cuma mahu memastikan dia selamat,” katanya.

Walaupun berdepan pengalaman itu, Afdlin menegaskan bahawa kejadian yang disaksikannya di Paris tidak seharusnya dijadikan gambaran mengenai keseluruhan Perancis.

Katanya, beliau turut mendengar laporan mengenai kejadian di lokasi lain termasuk Nice pada hujung minggu, namun hanya mampu berkongsi perkara yang dialami sendiri bersama keluarganya di Paris.

Dalam hantaran sama, Afdlin menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di luar negara supaya sentiasa mengutamakan keselamatan, khususnya ketika berdepan situasi kecemasan.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak menunggu untuk merakam kejadian atau melihat apa yang bakal berlaku, sebaliknya segera mencari tempat berlindung, mematuhi arahan pihak berkuasa dan menyemak maklumat rasmi sebelum meneruskan perjalanan.

“Tiada tempat pelancongan yang lebih penting daripada keselamatan keluarga. Pengalaman ini meninggalkan ketakutan, tetapi juga rasa syukur yang mendalam,” katanya.

Mengimbas kembali kejadian itu, Afdlin berkata beliau akan sentiasa mengingati individu yang menghulurkan bantuan kepada keluarganya ketika mereka berada dalam keadaan sukar.

Katanya, beliau menghargai tindakan kakitangan butik Goyard yang membenarkan mereka berlindung, pasangan warga emas di restoran yang menjaga mereka serta orang tidak dikenali yang mengambil berat tentang keadaan anaknya.

“Dalam keadaan paling mencemaskan, mereka memilih untuk membantu. Pada hari itu, bagi saya, wajah Paris juga ialah wajah mereka,” katanya.