Siakap Keli
lubang benam turki
Gambar: Yasin Akgul / AFP

Kemunculan Lubang Benam Di Turki Gusarkan Penduduk

Kemunculan Lubang Benam Di Turki Gusarkan Penduduk

KARAPINAR —  Setiap kali memandu traktor merentasi ladang gandum, fikiran bakal ‘ditelan’ lubang gergasi sentiasa bermain difikiran petani selepas kemunculan dua lubang benam di ladang jagung di sebuah wilayah di Konya, Turki, lapor AFP.

Perkara itu diberitahu oleh seorang petani Fatih Sik, 45, ketika ditemui oleh AFP.

Kemunculan dua lubang gergasi itu telah menimbulkan kegusaran penduduk yang rata-ratanya terdiri daripada petani di kawasan berkenaan.

Gambar: Yasin Akgul / AFP

“Lubang itu boleh tenggelamkan semua di mana-mana sahaja. Saya boleh meninggal dunia jika terjatuh pada lubang itu.

“Tetapi, saya perlu bekerja jika tidak keluarga saya akan kelaparan,” katanya.

Menurut pakar Profesor bersekutu Universiti Teknikal Konya, Arif Delikan, kedalaman lubang benam di kawasan itu dianggarkan sehingga 50 meter kedalaman (165 kaki).

BACA: Pelawak Dan Isteri Direman, Sebar Maklumat Dalaman Polis

Difahamkan, kemunculan lubang gergasi itu dilapor meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini kerana musim kemarau yang telah menyebabkan penggunaan telaga secara berlebihan untuk pengairan.

Dianggarkan kira-kira 640 lubang benam muncul di Konya, dengan lebih 600 daripadanya muncul di Karapinar sahaja.

“Salah satu faktor utama lubang benam ialah perubahan iklim. Kira-kira 20 lubang telah muncul sejak setahun lalu di Karapinar,” katanya.

Dalam pada itu, Arif dan agensi bencana kerajaan AFAD telah mengenal pasti lebih 2,700 kawasan berisiko terbentuknya lubang benam.

Punca lubang benam

Gambar: Yasin Akgul / AFP

Lubang benam berlaku apabila air menghakis batuan di bawah permukaan. Ia boleh terbentuk secara semula jadi atau melalui punca “antropogenik”, disebabkan oleh tindakan langsung atau tidak langsung manusia.

Lebih merisaukan, lubang ini boleh muncul secara tiba-tiba atau terbentuk secara perlahan-lahan, di mana makin lama ia menjadi makin besar.

Keadaan diburukkan dengan sesetengah individu menggerudi telaga haram, bagi menyelesaikan masalah air. Perkara ini secara tidak langsung melemahkan strukur batuan bawah tanah.

Arif berkata lagi, wilayah itu telah berdepan krisis kehilangan air sejak 20 tahun lalu, dengan petani beralih ke air bawah tanah untuk sistem pengairan di ladang.

Berikutan itu, paras air di Karapinar menurun sebanyak 10 hingga 20 meter setahun.

Sumber: AFP via France24

BACA JUGA: Kemunculan Lubang Benam Di Poland Gusarkan Penduduk

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"