Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Penduduk Kongsi Keadaan Semasa Di Mindanao Buat Ramai Cemas
Pagi yang sepatutnya bermula seperti biasa bertukar menjadi detik mencemaskan buat penduduk di Mindanao, Filipina apabila dua siri gempa bumi kuat menggegarkan wilayah itu hari ini.
Lebih mengundang perhatian, pelbagai rakaman video yang kini tular di media sosial memperlihatkan situasi cemas yang dilalui penduduk ketika gegaran berlaku.
Antara video yang paling banyak dikongsi memperlihatkan sekumpulan murid yang sedang berada di kawasan sekolah ketika gegaran berlaku.
Dalam rakaman tersebut, jeritan ketakutan jelas kedengaran apabila mereka menyedari bangunan dan persekitaran mula bergegar.
Situasi yang pada mulanya tenang bertukar menjadi cemas dalam sekelip mata.
Namun, di sebalik suasana panik itu, guru-guru dilihat bertindak pantas mengawal keadaan serta berusaha menenangkan murid-murid yang ketakutan.
Selain rakaman di sekolah, beberapa video lain turut menunjukkan kesan gegaran yang lebih membimbangkan.
Ada rakaman yang memperlihatkan bangunan mengalami rekahan ketara sebelum sebahagiannya dilaporkan runtuh akibat gegaran kuat tersebut.
Untuk rekod, pagi ini Mindanao dilanda dua siri gempa bumi kuat dalam tempoh kurang dua jam.
Gempa bumi pertama berlaku pada jam 7:37 pagi dengan magnitud 7.9 pada skala Richter.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), gempa tersebut berlaku pada koordinat 5.7° Utara dan 125.1° Timur dengan kedalaman 50 kilometer.
Pusat gempa dilaporkan terletak kira-kira 97 kilometer selatan Koronadal City, Filipina.
Lebih mengejutkan, gegaran daripada gempa kuat itu turut dirasai di beberapa kawasan di Sabah termasuk Tawau, Semporna dan kawasan sekitarnya.
Belum pun keadaan benar-benar reda selepas gempa bumi pertama, satu lagi gempa bumi kuat dilaporkan berlaku pada jam 8:55 pagi.
Gempa kedua itu direkodkan pada koordinat 5.3° Utara dan 125.2° Timur dengan magnitud 6.5 serta kedalaman 20 kilometer.
Pusat gempa dilaporkan berada kira-kira 749 kilometer ke timur Semporna, Sabah.
Menurut laporan, gegaran susulan itu turut dirasai di beberapa kawasan di Sabah termasuk Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu.
Dalam perkembangan sama, METMalaysia memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau situasi tersebut secara berterusan.
Orang ramai yang merasai gegaran akibat gempa bumi berkenaan digalakkan untuk berkongsi maklumat dengan mengisi borang soal selidik yang disediakan oleh METMalaysia bagi membantu pengumpulan data berkaitan kejadian tersebut.
Walaupun tumpuan kini terarah kepada keadaan di Mindanao, penduduk di kawasan yang merasai gegaran turut dinasihatkan supaya kekal tenang dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa melalui saluran rasmi.
Video-video yang tular hari ini menjadi gambaran jelas bagaimana dalam beberapa saat sahaja, kehidupan boleh berubah daripada keadaan biasa kepada situasi yang penuh cemas.
Buat masa ini, pihak berkuasa terus memantau sebarang perkembangan susulan, manakala penduduk di kawasan terjejas diharap sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga.