Siakap Keli
pembunuh baby zara hukuman gantung
Sumber: Sinar Harian

Rayuan Akhir Ditolak, Hukuman Gantung Sampai Mati Terhadap Pembunuh Baby Zara Kekal

Rayuan Akhir Ditolak, Hukuman Gantung Sampai Mati Terhadap Pembunuh Baby Zara Kekal

Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa, mengekalkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang bekas tukang gunting rambut yang juga pembunuh bayi perempuan berusia 11 bulan yang dikenali sebagai ‘Baby Zara’ enam tahun lalu.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Rhodzariah Bujang membuat keputusan sebulat suara untuk menolak rayuan terakhir tertuduh, 42, yang ingin mengetepikan sabitan dan hukuman terbabit.

Ketika membaca keputusan, tertuduh menyatakan bahawa sabitan dan hukuman (gantung sampai mati) adalah wajar.

“Ia seperti mana keputusan yang diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam (pada 20 Ogos 2021) dan disahkan oleh Mahkamah Rayuan (1 Mac 2023).

“Mahkamah berpuas hati, hukuman yang sesuai dijatuhkan ialah hukuman mati kerana jenayah yang dibuat, sangat kejam,”

katanya yang bersidang bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Mengikut pertuduhan, tertuduh, yang merupakan suami kepada pengasuh mangsa, disabitkan membunuh Nur Muazaralfa Mohammad Zainal di sebuah unit di Pangsapuri Sri Cempaka, Jalan 6/3, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, antara jam 10.30 pagi dan 1.30 tengah hari, pada 7 November 2018.

Pertuduhan ini dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.

BACA: Penunggang Motosikal Maut Digilis Lori Treler Semasa Cubaan Memotong

Media sebelum ini melaporkan bahawa bayi itu meninggal dunia selepas dua hari berada dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang, Selangor, dipercayai akibat penderaan fizikal dan seksual oleh suami pengasuh bayi tersebut.

Ibu mangsa dimaklumkan bahawa bayi itu dihantar ke hospital oleh pasangan terbabit yang mendakwa kanak-kanak itu tercekik buah epal.

Namun, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan koyakan pada selaput dara dan duburnya, dan laporan Patologi menunjukkan punca kematian disebabkan oleh ‘impak dipercayai objek tumpul terhadap kepala dan tengkoraknya’.

Semasa prosiding, peguam T Vijay yang mewakili tertuduh berhujah bahawa tertuduh tidak sedar melakukan perbuatan tersebut kerana berada di bawah pengaruh dadah.

Beliau memohon agar anak guamnya dikenakan hukuman penjara 30 tahun jika mahkamah mengetepikan hukuman mati.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi selaku responden menyatakan bahawa rayuan tertuduh wajar ditolak.

Menurutnya, tindakan tertuduh cuba melupuskan bahan bukti dengan membasuh tuala bagi menghilangkan darah menunjukkan bahawa dia sedar semasa kejadian.

“Pada hari itu, jam 6.45 pagi, ibu mangsa menghantar bayi itu ke rumah pengasuh, namun telah nazak pada jam 1.30 petang.

“Bayi itu hanya seberat 8.26kg, gigi pun belum tumbuh manakala pendarahan teruk pada otak menyebabkan peluangnya untuk hidup amat tipis,” katanya.

Selain itu, pada 29 November 2018, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dengan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kajang kerana memasukkan jari ke dalam kemaluan dan dubur bayi tersebut.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 20 tahun dan enam sebatan bagi pertuduhan pertama dan penjara 20 tahun dan enam sebatan bagi pertuduhan kedua.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan pada 13 November 2018.

BACA: Pesawat Air Europa Alami Gelora Udara Teruk, 40 Penumpang Cedera

Sumber: Sinar Harian

Sharifah Hannah Adibah