Demam Kepialu: Tiga Pengendali Makanan Disyaki Jadi Pembawa
KOTA BHARU — Seramai tiga pengendali makanan disyaki menjadi pembawa demam kepialu atau tifoid yang dilaporkan merebak di sebuah sekolah menengah di Kelantan, lapor Sinar Harian.
Menurut pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin, ketiga-tiga mereka tidak dibenarkan mengendalikan makanan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. Selain itu, kesemua mereka turut diberikan rawatan.
“Siasatan lanjut mendapati, satu wabak demam tifoid telah diisytiharkan oleh PKD (Pejabat Kesihatan Daerah) Kota Bharu di sebuah sekolah menengah pada 20 Jun.
“Sehingga 3 Julai sebanyak enam kes telah dikenal pasti melibatkan pelajar-pelajar tingkatan satu hingga lima,” ujarnya sewaktu dihubungi hari ini.
Tambah Dr Zaini, demam, sakit perut, muntah, cirit-birit selain kurang selera makan antara simptom yang dialami mereka.
BACA: Demam Nil Barat Ragut 11 Nyawa Di Israel
Walau bagaimanapun, kesemua telah mendapat rawatan di hospital dan dilaporkan stabil.
Mengulas lebih lanjut, beliau memaklumkan sebanyak dua kes telah sembuh dan dibenarkan discaj dari wad.
“Tiada kes bergejala teruk atau kematian dilaporkan dan sebanyak 35 kes yang disyaki demam tifoid juga telah dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk siasatan dan rawatan lanjut.
“JKNK akan terus memantau situasi wabak ini dan menjalankan langkah-langkah kawalan bagi mencegah wabak dari berpanjangan,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, PKD Kota Bharu bakal menjalankan saringan menyeluruh (mass screening) kepada semua warga sekolah dalam tempoh terdekat.
Oleg itu, Dr Zaini menasihatkan semua warga sekolah untuk sentiasa menjaga kebersihan dan sentiasa mencuci tangan.
“Sekiranya bergejala seperti demam berpanjangan, sakit kepala, lemah badan, dan cirit-birit atau sembelit, perlu segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran,” katanya lagi.
Terdahulu, seramai 1,000 orang termasuk pelajar sebuah sekolah menengah menjalani ujian saringan tifoid atau demam kepialu, lapor BERNAMA.
Ia susulan lima pelajar di sebuah sekolah menengah berkenaan telah disahkan dijangkiti demam kepialu.
Dr Zaini berkata, 17 pelajar lagi telah disaring di bilik isolasi di Hospital Tumpat dan Hospital Tengku Anis di Pasir Puteh.
Sumber: Sinar Harian