Macam Mana Sukan Bola Sepak Bermula? Ini Sejarahnya Yang Perlu Anda Tahu
Bola sepak merupakan antara sukan yang dipopularkan di seluruh dunia dengan hampir 130,000 pemain profesional dan lebih 4,400 kelab profesional yang berdaftar.
Sukan ini melibatkan dua pasukan yang bertanding bagi mendapatkan jaringan gol terbanyak dengan kerjasama 11 orang pemain bagi setiap pasukan.
Pemain dibenarkan menyentuh bola dengan anggota badan kecuali tapak tangan dan lengan bagi mencapai objektif utama iaitu menjaringkan bola di gol pihak lawan.
Selain daripada peraturan asas ini, beberapa lagi peraturan mudah telah ditetapkan bagi memastikan sukan ini lebih teratur dan adil, serta boleh dimainkan di mana saja.
Namun, siapakah yang mula-mula menetapkan cara bola sepak ini dimainkan? Dan dari manakah asalnya sukan nombor satu dunia ini?
Bagi menjawab persoalan-persoalan ini, mari ikuti perkongsian sejarah mengenai permulaan bola sepak di bawah ini.
Bola 101: Sejarah sebenar permulaan bola sepak di dunia
Sejarah sukan bola sepak paling awal dikesan dari empat tempat dan zaman yang berbeza. Tempat bersejarah ini ialah Yunani-Romawi, Meso-Amerika, China dan Jepun.

Antara keempat-empat sejarah ini, sukan bola sepak zaman dahulu di China dan Jepun merupakan yang paling hampir dengan cara permainan zaman sekarang.
Sejarah bola sepak di China
Terdapat dua bahagian dalam tinggalan sejarah China yang menunjukkan kewujudan sukan “bola” iaitu tinggalan sejarah berbentuk mitos dan tinggalan sejarah dunia sebenar. Cuju, atau yang sering ditulis sebagai ts’u-chü membawa maksud bola sepak.
Menurut mitos, satu manuskrip menukilkan permainan ini wujud ketika pemerintahan Maharaja Kuning yang bernama Huangdi. Baginda menggunakan sukan cuju sebagai salah satu bentuk latihan ketenteraan. Ia bermula setelah tenteranya berjaya mengalahkan musuh mereka, Chiyou dalam perebutan kuasa ketika itu. Huangdi menggunakan perut Chiyou yang dipenuhkan dengan bulu atau jerami dan dijadikan bola.
Dalam lipatan sejarah dunia, bukti kewujudan bola sepak ditemui di China iaitu seawal 55 hingga 135 Masihi.

Sukan cuju pertama kali dicatatkan di dalam buku rujukan sejarah Strategi Negeri-Negeri Berperang dan Catatan Sejarawan Ulung. Pada awalnya, cuju terkenal di Linzi, salah satu wilayah terkaya di Shandong. Ketika Zaman Negeri-negeri Berperang, China diterajui oleh dinasti Han antara 202 Sebelum Masihi hingga 220 Masihi. Zaman inilah cuju mula berkembang.
Suatu ketika dahulu, Cuju merupakan salah satu latihan ketenteraan yang penting. Menurut salah satu ajaran cendekiawan Confucius yang juga seorang ahli politik, Liu Xin, latihan ini dilihat mampu memperkukuh semangat berjuang dalam diri tentera.
Namun, penemuan sebuah puisi yang ditulis oleh Li You menggambarkan cuju dengan lebih terperinci, malah ia dilihat melebihi sekadar latihan ketenteraan atau hiburan.
“Sebiji bola yang bulat dan dinding yang petak, seperti Yin dan Yang. Gol berbentuk bulan bertentangan satu sama lain, enam pada setiap sisi. Pilih ketua dan lantik pengadil, ikut peraturan yang tidak boleh diubah. Usah hiraukan saudara dan rakan, jauhi sikap berat sebelah. Tetaplah adil dan berdamai, usah dirungut salah yang lain, itulah perihalnya cuju. Inilah asasnya pada cuju. Memberi pedoman dalam kehidupan.”
BACA: Tercatat Dalam Naskhah Kartografi, Laluan Lama Hubungkan Melaka & Johor Dijejaki
Sepanjang sejarah dicatatkan, terdapat pelbagai cara cuju dimainkan selain yang dinukilkan oleh Li You. Salah satu cara permainan paling terkenal ialah pemain cuba menendang seberapa banyak bola melalui jaring yang dipacakkan di tengah gelanggang. Cuju hanya melibatkan enam orang pemain.

Bola yang digunakan ketika itu diperbuat daripada dua keping kulit yang dijahit menjadi bentuk bulat dan diisi dengan bulu pelepah. Setelah beberapa zaman berlalu, penghasilan bola telah ditambah baik dengan 12 keping kulit haiwan dijahit bersama. Perubahan ini membolehkan bola melantun lebih tinggi dan lebih mudah dikawal.
Sayangnya, sukan ini semakin hilang dari sejarah apabila dinasti Han mula merosot dalam kalangan bangsawan dan tentera.
Namun 400 tahun kemudian, cuju kembali dimainkan sebagai permainan tradisi apabila dinasti Tang muncul, iaitu sekitar tahun 618 Masihi hingga 907 Masihi. Kanak-kanak dan orang dewasa dari kalangan rakyat biasa turut serta bermain cuju di pesta dan keramaian.
Sejarah bola sepak di Jepun
Pada tempoh zaman yang sama dengan dinasti Tang, sukan bola sepak ini didapati muncul di Jepun.
Dalam sejarah Jepun, sukan ini dikenali dengan nama kemari. Perkataan ke bermaksud sepak, dan mari bermaksud bola.
Sekitar tahun 645 Masihi, sejarah menunjukkan pemberontakan yang dipimpin oleh Putera Mahkota Naka no Ōe dan pengiringnya, Nakatomi no Kamatari berjaya menjatuhkan pemerintahan Soga. Kedua tokoh penting ini dikatakan pertama kali bertemu di gelanggang kemari. Kamatari dilihat mengutip dan memulangkan kasut Putera Mahkota yang terpelanting ketika bermain kemari.
Sejarah ini menunjukkan sukan kemari sinonim dengan nilai hormat-menghormati sesama pemain selain menjadi satu wadah untuk menambah kenalan dan menjalin persahabatan.
Kemari yang kini hanya tinggal ritual mempunyai cara bermain yang lebih kurang serupa dengan cuju iaitu menggunakan kaki untuk menendang dan mengimbangkan bola.

Walaupun begitu, tiada tiang gol yang terlibat dalam permainan kemari. Lapan orang pemain perlu menendang dan mengimbang bola yang melantun seberapa banyak yang boleh tanpa jatuh ke tanah. Bola hanya boleh ditendang menggunakan kaki kanan.
Setelah mengetahui sejarah awal sukan bola sepak, mari kita lihat pula sedikit sejarah awal sukan yang menggunakan bola.
Sukan yang menggunakan bola sebenarnya telah lama wujud di Meso-Amerika dan Yunani-Romawi.
Sejarah sukan bola di Amerika Utara
Meso-Amerika merupakan gelaran zaman dahulu bagi kawasan yang merangkumi negara di bahagian Amerika Utara iaitu Mexico, Guatemala, Belize, El Salvador, Honduras, Nicaragua dan Costa Rica. Pertemuan sejarah menunjukkan sukan bola telah lama dimainkan di sini, iaitu sekitar 3000 tahun dahulu.
Dalam tahun 977 Sebelum Masihi, sukan ini menggunakan bola yang diperbuat daripada getah supaya mudah melantun. Tidak seperti cuju dan kemari yang menggunakan kaki, sukan bola ini hanya melibatkan bahagian pinggang.
Tidak hanya sebagai hiburan, sukan bola ini turut menjadi penentu kepada langkah diplomasi bagi mengelakkan berlakunya peperangan. Kini, terdapat gerakan yang cuba mengembalikan semula kegemilangan sukan bola Meso-Amerika.
BACA: Dihasilkan Dari Tebu, Ketahui Mengenai Bahan Api Etanol Yang Digunakan Di Brazil
Sejarah bola sepak di zaman Yunani-Romawi
Sukan bola Yunani-Romawi di Eropah pula lebih banyak menggunakan tangan berbanding bahagian bawah badan.
Walaupun terdapat beberapa sukan bola yang dinyatakan dalam sejarah, sukan episkyros dari Yunani dan sukan harpastum dari Romawi merupakan sukan bola yang paling hampir dengan bola sepak. Episkyros melibatkan 12 hingga 14 orang pemain bagi setiap pasukan manakala harpastum tidak dapat dipastikan jumlah pemain.
Tidak banyak maklumat sejarah dapat menerangkan cara permainan sukan-sukan ini. Apa yang diketahui, dalam episkyros, setiap pasukan cuba untuk membuatkan pihak lawan terkeluar dari garisan gelanggang dengan balingan bola manakala dalam harpastum pula, setiap pasukan cuba menghalang pihak lawan dari merampas bola.

Walaupun keempat-empat sukan ini kelihatan berbeza antara satu sama lain, namun terdapat beberapa persamaan dapat disimpulkan. Kesemua sukan ini pada awalnya hanya melibatkan golongan berada atau berpengaruh sebelum zaman berubah dan sukan ini hanya tinggal tradisi. Setelah itu, barulah golongan rakyat biasa dapat “turut serta” dalam sukan-sukan ini.
Persamaan yang ketara juga dapat dilihat apabila keempat-empat sukan ini menjadi salah satu bentuk latihan ketenteraan serta wadah diplomasi kerajaan dan bangsawan pada zaman dahulu.
Jika diperhatikan dengan teliti, cuju dan kemari mempunyai persamaan dengan bola sepak moden pada penggunaan bahagian badan ketika bermain. Manakala bagi sukan bola Meso-Amerika dan Yunani-Romawi pula, persamaan dapat dilihat pada penciptaan bola dan aturan permainan.
Jadi, bagaimana pula boleh wujud sukan bola sepak yang kini “menyatukan” dunia dengan satu peraturan yang sama?
Sejarah bola sepak moden
Pada kurun ke-19, sukan bola sepak yang dikenali dengan nama folk football iaitu bola sepak rakyat merupakan sukan pilihan rakyat British sama ada di bandar mahupun kampung.
Jangan terkejut, sukan bola sepak rakyat zaman itu merupakan gabungan ragbi dan bola sepak. Jadi ia sememangnya sukan yang lasak, kasar dan bukan hanya menggunakan kaki.
Hal ini berikutan penggunaan peraturan yang paling ringkas dan berbeza mengikut kawasan.
Perbezaan cara bermain dan peraturan ini memberi kesukaran buat anak muda yang tamat bersekolah untuk terus bermain apabila masuk ke alam universiti. Mereka hanya berpeluang untuk bermain bola sepak jika bertemu rakan dari kawasan yang sama.
Memandangkan keadaan itu menyusahkan mereka untuk bersukan, mahasiswa Universiti Cambridge cuba mewujudkan piawaian bagi peraturan dan cara bermain pada awal 1843. “Peraturan Cambridge” ini kemudiannya dibawa bersama oleh graduan apabila mereka pulang ke kampung halaman atau masuk ke alam pekerjaan.
BACA: Baru 17 Tahun, Pemain Bola Keranjang China Ini Miliki Ketinggian 220 Cm
Semenjak itu, beberapa siri perjumpaan dan perbincangan berlaku antara kelab-kelab bola sepak yang menghasilkan peraturan bercetak bola sepak pada tahun 1863.
Ketika ini tertubuhnya Persatuan Bola Sepak atau Football Association (FA). Di dalam peraturan itu, ada tercatat larangan membawa bola seperti ragbi. Menjelang 1870, FA mengharamkan terus semua cara memegang bola kecuali penjaga gol. Detik ini menyaksikan sejarah terpisahnya ragbi dari sukan bola sepak.
Tahun berganti tahun, sukan bola sepak semakin tersebar hampir ke seluruh Eropah pada abad ke-20 dengan perlawanan antarabangsa semakin meningkat.
Penyebaran meluas ini membuatkan ketua-ketua bola sepak di Eropah merasakan perlunya organisasi pemantau di peringkat antarabangsa.
Dengan pimpinan seorang wartawan Perancis, Robert Guerin, wakil kelab-kelab bola dari Belgium, Denmark, Perancis, Belanda, Sepanyol, Sweden dan Switzerland berkumpul di Paris bagi membincangkan masa depan bola sepak. Lalu, tertubuhlah Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa atau Fédération Internationale de Football Association (FIFA) pada 21 Mei 1904.
Dengan Guerin sebagai presiden pertama, FIFA sebagai pihak berkuasa pentadbiran bola sepak dari awal penubuhan sehingga kini mentadbir pelbagai aspek termasuk mengawal selia peraturan permainan, mengawasi perpindahan pemain di peringkat antarabangsa dan menganjurkan pertandingan antarabangsa seperti Piala Dunia FIFA. Selain itu, FIFA juga berfungsi mewujudkan piawaian untuk pengadil, kejurulatihan dan perubatan sukan, juga menggalakkan pembangunan bola sepak di seluruh dunia.
Begitulah serba sedikit sejarah awal bola sepak. Bagi anda yang ingin lebih merasai suasana ketika berlaku sejarah bola sepak moden, SK cadangkan untuk anda tonton siri drama sejarah The English Game di Netflix. Biarpun siri ini didakwa berdasarkan kisah sebenar, tidak dapat dinafikan kemungkinan ada bahagian kisah yang ditambah bagi mencantikkan jalan cerita. Luangkan masa, nikmati detik sejarah yang terakam. Selamat menonton.
Sumber: FIFA Museum, Brittanica