Dua Pemain Kelab Maghribi Dilaporkan Hilang Di Laut
RABAT — Dua pemain dari kelab bola sepak liga Maghribi, Ittihad Tanger, Salman Harraq dan Abdellatif Akhrif dilaporkan hilang di laut sejak Sabtu lalu dipercayai dihanyutkan oleh arus deras ketika berlayar, lapor TRT Afrika.
Timbalan Presiden kelab Anass Mrabet berkata mereka terdiri daripada lima pemain dari kelab itu difahamkan berkelah di utara bandar Tangier ketika arus deras dan angin kencang menghanyutkan kapal layar, semasa mereka sedang berenang di perairan dalam.
“Tiga pemain telah pun diselamatkan pada Sabtu, manakala operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih dijalankan terhadap kehilangan Salman Harraq dan Abdellatif Akhrif,” katanya.
Sewaktu kejadian, ke semua pemain tidak menggunakan pelampung ketika terjun dari kapal layar kecil itu untuk berenang.
Untuk makluman, Akhrif, 24, merupakan pemain utama pasukan Ittihad Tanger manakala Harraq, 18, bakal diserapkan ke pasukan utama pada musim ini.
Ittihad Tanger antara pasukan di liga utama Maghribi sejak 2015 dan memenangi kejuaraan liga buat kali pertama dan terakhir dalam sejarah kelab itu pada musim 2017-18.
BACA: Arda Guler, Lamine Yamal, Ini Senarai “Star Boy” Yang Menyerlah Dalam Kejohanan Euro 2024
Rebah ketika perlawanan, pemain bola sepak Mesir Ahmed Refaat meninggal dunia
Sementara itu dalam perkembangan lain, pemain bola sepak Mesir, Ahmed Refaat, 31, disahkan meninggal dunia pada Sabtu akibat komplikasi selepas serangan jantung yang dialaminya empat bulan lalu ketika rebah semasa perlawanan Liga Perdana Mesir pada 11 Mac.
Difahamkan, Refaat telah bermain tujuh kali untuk pasukan kebangsaan Mesir mengalami serangan jantung empat bulan lalu semasa perlawanan liga menentang Al-Ittihad Alexandria.
Pada mulanya, beliau dimasukkan ke hospital di Alexandria sebelum dipindahkan ke Kaherah pada 25 Mac untuk menerima rawatan lanjut.
Walaupun telah dibenarkan keluar hospital pada 11 April, Refaat terus menjalani rawatan dengan bergantung kepada alat pacu jantung (pacemaker), sebuah peranti perubatan yang mengawal rentak jantung.
“Pada hari dia cedera, kami sedang menonton perlawanan di televisyen. Apabila melihat dia rebah, kami sangat sedih. Kami tidak menyangka kecederaan itu akan membawa penderitaan yang begitu teruk,” kata bapa saudaranya, Mahmoud el Askari.
Sumber: TRT Afrika